AIKEN: Empat sarang tebuan yang mengandungi bahan radioaktif ditemukan di kemudahan nuklear di sebuah bandar South Carolina, Amerika Syarikat (AS).
Menurut laporan Jabatan Tenaga AS (DOE) yang dikeluarkan minggu lalu, sarang itu disembur untuk membunuh tebuan, kemudian diuruskan sebagai sisa radiologi.
Sarang tersebut ditemukan pekerja yang menjalankan pemeriksaan rutin terhadap radiasi nuklear di Tapak Sungai Savannah pada 3 Julai lalu.
“Ia berada pada tiang berhampiran kawasan penyimpanan berjuta gelen sisa nuklear cecair,” menurut laporan.
Bagaimanapun, laporan itu menegaskan tiada kebocoran dari tangki sisa berkenaan, termasuk kesan terhadap alam sekitar atau orang awam.
Penyiasat menegaskan pencemaran yang dikesan pada sarang tebuan bukan berpunca daripada kebocoran sisa nuklear, sebaliknya disebabkan pencemaran radioaktif tinggalan yang masih wujud sejak era Perang Dingin.
Kemudahan, yang terletak berhampiran Aiken, pernah berperanan menghasilkan bahan bagi pembuatan senjata nuklear semasa era tersebut.
Laporan Jabatan Tenaga AS menyatakan, tebuan yang mendiami sarang radioaktif itu berkemungkinan terdedah kepada tahap radiasi yang jauh lebih rendah berbanding sarangnya.
Ia turut menjelaskan, tebuan kebiasaannya hanya terbang dalam jarak beberapa ratus kaki dari sarang mereka.
“Oleh itu, penemuan sarang tersebut menunjukkan kemungkinan besar tebuan tidak terbang keluar dari kawasan kemudahan.
“Tiada pencemaran dikesan di kawasan sekeliling, tiada kesan terhadap pekerja alam sekitar atau orang awam,” menurut laporan DOE.- BBC










