RUU Pekerja Gig rapatkan jurang keadilan sosial

RUU Pekerja Gig rapatkan jurang keadilan sosial

Hanya 304,625 penggiat gig dikesan aktif mencarum, sekali gus menandakan hanya 25.4 peratus mendapat perlindungan keselamatan sosial yang merupakan hak asasi manusia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig 2025 diyakini mampu merapatkan jurang keadilan sosial yang kian meruncing di sektor tidak formal.

Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dalam kenyataan pada Selasa menjelaskan, nasib lebih 1.2 juta penggiat gig yang bersabung nyawa mencari pendapatan harian di negara ini didapati tidak seimbang dengan kepentingan jaringan perlindungan mandatori.

Berdasarkan statistik LINDUNG Kendiri (Akta 789) bagi tempoh sepanjang tahun 2024, hanya 304,625 penggiat gig dikesan aktif mencarum, sekali gus menandakan hanya 25.4 peratus mendapat perlindungan keselamatan sosial.

Meskipun hanya sebahagian kecil daripada jumlah keseluruhan pencarum, namun penerima faedah dalam kalangan penggiat gig sebenarnya mewakili 28.6 peratus daripada jumlah penyaluran faedah di bawah LINDUNG Kendiri bagi tempoh yang sama.

“Angka ini mencerminkan keperluan mendesak terhadap perlindungan sosial yang amat kritikal bagi komuniti penggiat gig.

“Justeru, pembentangan RUU Pekerja Gig 2025 adalah langkah bersejarah yang sejajar agenda penjenamaan LINDUNG meliputi hak, kebajikan dan maruah mereka sebagai penggerak utama ekonomi digital negara,” menurut kenyataan tersebut.

Apabila penguatkuasaan kerangka perundangan ini diwartakan kelak, penggiat gig akan menikmati perlindungan yang setara dengan pekerja formal iaitu seiring prinsip karamah insaniah yang mengangkat martabat setiap individu tanpa mengira bidang pekerjaaan.

Bersandarkan pendekatan perlindungan sosial mandatori, pekerja gig bakal menikmati lapan jenis faedah yang diperuntukkan melalui LINDUNG Kendiri, termasuk akses kepada perkhidmatan rehabilitasi dan penggantian pendapatan jika mengalami bencana kerja.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN