KUANTAN: Majlis Ekonomi Gig Malaysia (MyGiG) menyambut baik kelulusan Rang Undang-Undang Pekerja Gig 2025 di Dewan Rakyat hari ini, yang disifatkan sebagai titik perubahan penting dalam landskap ekonomi digital negara.
Pengerusinya, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin berkata, langkah itu membuktikan komitmen kerajaan untuk mengiktiraf lebih 1.2 juta pekerja gig di Malaysia sebagai tenaga kerja sah yang berhak mendapat perlindungan sosial dan jaminan undang-undang.
“Walaupun RUU ini mungkin dilihat belum sempurna, namun ia bukan sekadar dokumen dasar, tetapi manifestasi keprihatinan kerajaan terhadap nasib seluruh pekerja gig yang selama ini berada di luar radar perlindungan formal.
“Kelulusan ini membuka ruang kepada penubuhan Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGiM) yang akan menjadi pemacu utama dalam membela kebajikan dan hak golongan ini,” katanya dalam kenyataan di sini.
Mohd. Sharkar berkata, SEGiM bukan sahaja akan berfungsi sebagai pusat advokasi dan kawal selia, malah berperanan penting dalam menyeimbangkan kuasa kapitalisme digital agar lebih adil dan beretika.
Beliau dalam pada itu merakamkan penghargaan kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi atas komitmen berterusan memperjuangkan nasib penggiat ekonomi gig di negara ini.
Menurutnya, Ahmad Zahid bukan sahaja menjadi penggerak utama dalam merangka dasar perlindungan sosial untuk pekerja gig, malah turut memainkan peranan penting dalam usaha penubuhan SEGiM yang bakal memperkukuh ekosistem ekonomi baharu itu.
“Baru-baru ini, Malaysia diberikan penghormatan membentangkan perancangan tentang penubuhan SEGiM pada Persidangan Buruh Antarabangsa (ILO) di Geneva,” katanya.
Beliau turut berterima kasih dan merakamkan penghargaan kepada Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong dan Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) atas usaha berterusan dalam merangka dan meluluskan RUU tersebut.
“MyGiG akan terus memainkan peranan aktif dalam memastikan pelaksanaan RUU ini memberikan impak sebenar kepada setiap pekerja gig di negara ini,” katanya.
Sektor ekonomi gig mencatat detik bersejarah apabila RUU Pekerja Gig 2025 diluluskan di Dewan Rakyat dengan sokongan majoriti Ahli Parlimen selepas tujuh tahun proses penggubalannya.
RUU yang mengandungi 112 fasal, itu dibentangkan oleh Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong dan diluluskan selepas dibahaskan oleh 23 Ahli Parlimen mewakili blok kerajaan serta pembangkang.
RUU tersebut memberi tumpuan kepada empat aspek utama iaitu definisi pekerja gig, mekanisme penyelesaian pertikaian, penubuhan majlis tiga hala bagi menentukan isu pendapatan dan perlindungan keselamatan sosial. – UTUSAN