DUNGUN: Seorang peneroka di Felda Kerteh 1, di sini sanggup menghabiskan wang kira-kira RM15,000 bagi membina sebuah replika rumah generasi Felda di tanah rancangan itu.
Replika rumah asal generasi Felda itu dibina secara bergotong-royong sejak Mei lalu dan dihiasi Jalur Gemilang serta hiasan lain sempena sambutan Bulan Kemerdekaan Ke-68.
Ghazali Abdul Kadir, 65, berkata, dia sanggup menghabiskan wang untuk pembinaan replika rumah itu sebagai mengingati nostalgia penempatan awal di Felda itu selain menjadi simbol perjuangan bagi peneroka yang mengerah keringat membangunkannya.
“Bila kita bina replika ini, sekurang-kurangnya generasi muda hari ini tahu bagaimana keadaan rumah kami dahulu. Hanya dilengkapi satu bilik dan sekarang ini boleh dikatakan semua rumah peneroka diubah suai dengan lebih luas mengikut kesesuaian keluarga.
“Dahulu kami hanya ada satu bilik, ruang tamu yang kecil dan dapur. Kami bina replika ini mengikut reka bentuk rumah asal peneroka dengan tandas juga dibina di luar rumah itu,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia, semalam.
Ghazali berkata, replika itu dibina dengan keluasan 3.5 meter lebar dan 1.8 meter panjang itu turut dilengkapi pintu gerbang, taman dan kolam ikan.
“Bagi memastikan replika rumah ini kekal kukuh, kami menggunakan kayu yang bermutu tinggi dan rumah ini boleh menampung lebih lima orang dalam satu-satu masa. Kami juga bina sebuah bilik dilengkapi katil yang diukir sendiri oleh peneroka. Boleh dikatakan pembinaan ini menggunakan tangan sepenuhnya,” katanya.
Bagi seorang warga emas, Siti Mat Amin, 70, berkata, pembinaan rumah asal itu mengingatkannya tentang perjuangan peneroka di Felda itu yang meneroka tanah rancangan itu pada 1978.
“Ketika itu kami sangat susah, saya dan suami masing-masing bekerja keras. Saya ambil upah tanam benih sawit dan suami pula melakukan kerja-kerja berat. Alhamdulillah, hasilnya kita nikmati sekarang dan dengan duit daripada Felda, saya dapat mengerjakan haji dengan suami.
“Bagi menjayakan pembinaan replika rumah ini, kami sama-sama bergotong royong. Golongan lelaki bertukang siapkan rumah manakala wanita pula menyiapkan hiasan termasuk menanam bunga. Memang kami sangat seronok lakukan hiasan ini walaupun tiada sebarang pertandingan,” katanya.
Sementara itu, bagi penuntut Universiti Kuala Lumpur Royal College of Medicine, Perak, Hasya Sufiya Roslan, 19, dia yang pulang ke kampung neneknya sangat teruja melihat replika rumah generasi pertama Felda itu.
“Saya tak pernah lihat rumah asal Felda sebelum ini dan hanya mendengar cerita nenek. Apa yang saya lagi seronok tengok suasana harmoni dalam kalangan penduduk di sini yang bertungkus lumus menghias kampung,” katanya. – UTUSAN







