TARIKH 23 Februari 2024 menandakan satu peristiwa penting dalam sejarah Menara Felda kerana ia menyambut ulang tahun ke-10 penubuhannya.
Meraikan tarikh yang bermakna ini, Felda telah menganjurkan Karnival Segalanya Felda, sebuah karnival selama tiga hari bermula 23 Februari hingga 25 Februari, dengan bertujuan bukan sahaja untuk meraikan warga Felda di Lembah Klang tetapi juga memberi peluang untuk orang ramai mengenali Felda dengan lebih dekat.
Pada masa yang sama, para pelawat juga dapat melihat sendiri keanggunan seni bina Menara Felda dan potensi menara ini untuk dijadikan sebuah hab gaya hidup yang dapat menyediakan pelbagai aktiviti yang sesuai untuk semua peringkat umur.
Karnival Segalanya Felda ini lebih daripada sekadar sambutan, ia merupakan platform bagi jenama tempatan untuk mempamerkan produk dan perkhidmatan mereka, menampilkan persembahan buskers yang menghiburkan, dan juga pelbagai aktiviti menarik untuk keluarga khususnya kanak-kanak.
Penganjuran karnival ini juga bukan penganjuran biasa. Ia merupakan sebahagian daripada idea dan wawasan Pengerusi Felda, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, untuk menjadikan Menara Felda yang terletak di Platinum Park, Kuala Lumpur, sebagai hab gaya hidup yang cukup meriah.
Menurut Ahmad Shabery, karnival ini juga menjadi ground testing untuk menguji sama ada lokasi ini sesuai untuk terus dikembangkan.
Terletak di segi tiga emas di pusat bandaraya, di antara keindahan menghijau dan ruang yang luas, Menara Felda dilihat amat sesuai dijadikan port gaya hidup di mana pelbagai lagi acara yang menarik boleh diadakan dan ini dapat menarik Feldarian dan orang ramai untuk meluangkan masa berkualiti bersama keluarga di sini.
Potensi kemeriahan yang dilihat mampu menarik anak-anak muda juga untuk berhimpun di situ.
Usaha untuk menjadikan Menara Felda sebuah lokasi gaya hidup yang inklusif untuk semua ini merupakan asas kepada visi yang lebih luas. Simbolik lokasi menara itu sendiri merupakan representasi nama Felda yang cukup besar.
Melalui jenama Segalanya Felda, Ahmad Shabery berharap agar karnival ini dapat diteruskan di tanah-tanah rancangan di seluruh negara.
Sebagai seorang individu yang berpandangan jauh dan melihat sesuatu secara holistik, semua ini dilihat sebagai sebahagian dari usaha untuk meningkatkan jenama Felda ke peringkat yang lebih tinggi.
Di zaman revolusi kecerdasan buatan ini, Felda perlu dilihat melangkau dari hanya dikenali sebagai pengeluar sawit dan landskap desa.
Felda juga merupakan sebuah gaya hidup sejajar dengan peredaran masa. Sebagaimana yang dikatakan oleh Ahmad Shabery, bagi Feldarian harus ada satu pemikiran dan kebanggaan bahawa “Saya adalah Feldarian, Kami adalah Feldarian, di mana-mana dan pada bila-bila masa kami tetap orang Felda.”
Segalanya Felda
Dalam dunia yang terus berubah, keupayaan untuk berinovasi dan menyesuaikan diri dengan keperluan semasa adalah kunci kepada kejayaan dan kelestarian.
Felda yang selama ini dikenali sebagai pemain utama dalam industri kelapa sawit dan pembangunan luar bandar, kini mengambil langkah berani ke arah penjenamaan semula dengan memperkenalkan konsep Segalanya Felda.
Inisiatif ini bukan sekadar perubahan nama atau logo, tetapi merupakan transformasi holistik yang mencerminkan komitmen Felda untuk menjadi lebih relevan, dinamik dan berhubung dengan gaya hidup masa kini.
Segalanya Felda bukan hanya slogan; ia adalah manifestasi dari visi Felda untuk mengintegrasikan nilai-nilai tradisional dengan inovasi dan modernisasi.
Konsep ini bertujuan untuk memperluas persepsi awam terhadap Felda, dari hanya dilihat sebagai pengeluar kelapa sawit dan entiti pembangunan luar bandar, menjadi sebuah jenama gaya hidup yang menyeluruh.
Melalui Segalanya Felda, kita diajak untuk melihat Felda sebagai sebuah institusi yang inovatif, yang berusaha memodenisasi bukan hanya dalam pengeluaran dan teknologi, tetapi juga dalam pemikiran dan cara hidup.
Kesinambungan dan kejayaan transformasi ini bergantung kepada penglibatan dan dukungan dari seluruh komuniti Felda. Segalanya Felda bukan hanya tentang perubahan yang diterapkan dari atas, tetapi juga tentang bagaimana setiap individu dalam komuniti dapat menjadi sebahagian dari perubahan tersebut.
Melalui pendekatan kolaboratif, Felda berusaha untuk mencipta sebuah ekosistem yang mendukung inovasi, kreativiti dan pertumbuhan bersama.
Hari Peneroka Felda FGV 2024
Usaha membawa visi baharu Felda ini akan diteruskan dengan penganjuran Hari Peneroka Felda FGV 2024 yang dijadualkan pada 12 hingga 14 Julai tahun ini.
Hari Peneroka Felda FGV 2024 akan menjadi acara yang bersejarah dalam kalendar komuniti Felda, melangkaui penceritaan sejarahnya untuk terus mengharungi masa depan yang merangkumi perpaduan, kemakmuran dan wawasan bersama.
Berlatarbelakangkan kemeriahan MAEPS Serdang, acara tiga hari ini dijangkakan akan menarik himpunan 500,000 Feldarian dan rakyat Malaysia di seluruh negara. Sesuatu yang belum pernah berlaku sebelum ini.
Sambutan tahun ini adalah bukti semangat Felda yang terus berevolusi – daripada acara sehari kepada tiga hari yang merangkumi pelbagai aspek kekayaan warisan Felda, sumbangan ekonomi dan kejayaan penerokanya.
Dengan pelbagai aktiviti menarik seperti Feel Da Star, Masterclass, acara kerohanian, karnival kerjaya, pertandingan sukan, festival makanan, glamping, pameran dan banyak lagi.
Hari Peneroka 2024 bertujuan untuk bukan sahaja meraikan pencapaian komuniti Felda tetapi juga untuk menginspirasikan kerjasama dan inovasi dalam kalangan ahlinya.
Saat Menara Felda memulakan dekad baharu, mesejnya jelas: Felda kini melangkah dengan visi yang baharu, ia merupakan sebuah gaya hidup, kebersamaan komuniti dan inovasi yang berterusan.
Karnival Segalanya Felda yang berlangsung pada hujung minggu ini dan Hari Peneroka Felda FGV 2024 yang akan datang merupakan permulaan baru yang mana Felda kini diposisikan sebagai sebuah gaya hidup komprehensif, mempamerkan semangat dinamik dan kental Feldarian seluruh negara. – UTUSAN
NURUL Ashiqin Shamsuri ialah Generasi Ketiga Feldarian.










