TAPAH: Maahad Tahfiz al-Quran Al-Ahmad di sini hanya mengeluarkan modal yang kecil untuk menghias pusat pengajian agama itu secara kreatif dengan pelbagai replika ikonik dan bersejarah negara sempena sambutan Hari Kebangsaan 2025.
Kawasan maahad seluas 0.81 hektar itu dihiasi dengan pelbagai replika yang mencuri tumpuan seperti Menara Berkembar Petronas, Menara Condong Teluk Intan, slogan kemerdekaan, Tugu Negara dan wau.
Selain itu, ribuan Jalur Gemilang dan bendera 14 buah negeri menghiasi setiap genap ruang maahad yang menampilkan semangat patriotik 40 pelajar dan lima gurunya.
Pengasas pusat pengajian itu, Ahmad Firdaus Mohd. Mazlan Kushairi, 30, berkata, pihaknya hanya membelanjakan RM900 untuk membuat replika tersebut menggunakan bahan terpakai seperti botol minuman, kayu lama, kepingan zink, batu bata, pinggan kertas dan paip polivinil klorida (PVC).
Katanya, barangan itu yang tersimpan dalam stor sebelum diolah semula secara kreatif bagi menghasilkan rekaan menarik selain bendera-bendera terpakai yang masih elok digunakan semula secara sepenuhnya.
“Kami hanya membelanjakan RM900 untuk membeli berus, cat, paku, pengokot serta kertas eliminasi sahaja bertujuan menerangkan informasi berkaitan negara, pemimpin dan pejuang kemerdekaan.
“Proses menyiapkannya tidak lama iaitu kurang seminggu selain kami setiap tahun turut menyertai pertandingan menghias kediaman atau bangunan peringkat kampung,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini semalam.
Jelasnya, mesej supaya menjaga dan memelihara alam sekitar turut ditampilkan iaitu penggunaan barangan kitar semula. – MINGGUAN










