Rakyat Palestin kecewa PBB lambat isytihar kebuluran di Gaza

Rakyat Palestin kecewa PBB lambat isytihar kebuluran di Gaza

SEORANG kanak-kanak Palestin menjamah nasi yang dimasak dengan jarinya selepas menerima hidangan dari dapur amal di Gaza City.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Sambil menggenggam periuk dan baldi plastik, penduduk Palestin yang kelaparan berebut untuk mendapatkan makanan di sebuah dapur amal di Gaza City, sehari selepas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) secara rasmi mengisytiharkan kebuluran di wilayah bergolak itu.

Rakaman AFP menunjukkan suasana huru-hara di bandar terbesar Gaza, yang kini menjadi sasaran Israel dalam rancangan serangan ketenteraan lebih meluas.

Wanita dan kanak-kanak kecil kelihatan berhimpit sambil menjerit untuk mendapatkan makanan yang sangat terhad.

Seorang budak lelaki dilihat mengikis butir nasi yang tertinggal dalam periuk besar menggunakan tangannya, manakala seorang kanak-kanak perempuan duduk di tepi khemah menyuap nasi dari plastik di atas tanah.

“Kami sudah tiada rumah, tiada makanan, tiada pendapatan… jadi terpaksa bergantung kepada dapur amal, namun ia tidak mampu mengenyangkan,” kata Yousef Hamad, 58, yang dipindahkan dari Beit Hanoun di utara Gaza.

NETANYAHU TUDUH PBB BOHONG

Seorang penduduk Palestin di Deir el-Balah, Umm Mohammad, 34, menyifatkan pengisytiharan kebuluran oleh PBB pada Jumaat lalu sebagai ‘terlalu terlambat’, ketika krisis makanan di Gaza semakin parah.

“Kanak-kanak terhuyung-hayang kerana pening, tidak mampu bangun akibat kekurangan makanan dan air,” katanya ketika ditemui di dapur amal di Deir el-Balah, selatan Gaza.

PBB secara rasmi mengisytiharkan kebuluran di Gaza selepas lebih 22 bulan perang, dengan menyalahkan ‘sekatan sistematik’ Israel terhadap penyaluran bantuan kemanusiaan.

Namun, pengisytiharan itu dilihat tidak memberi sebarang makna atau bantuan praktikal untuk penduduk Palestin yang terperangkap dalam kebuluran di Gaza.

Menurut Inisiatif Klasifikasi Fasa Keselamatan Makanan Bersepadu (IPC) yang berpangkalan di Rom, kebuluran kini menjejaskan kira-kira 500,000 penduduk di kawasan Gaza, iaitu sekitar satu perlima daripada keseluruhan wilayah Palestin termasuk Gaza City.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menolak laporan PBB mengenai kebuluran itu dan menggelarnya sebagai ‘pembohongan’.

Namun, Ketua Agensi PBB untuk Pelarian Palestin (UNRWA), Philippe Lazzarini menegaskan, sudah tiba masanya kerajaan Israel berhenti menafikan kebuluran yang sedang berlaku di Gaza.

“Semua pihak yang mempunyai pengaruh mesti menggunakannya dengan tekad dan rasa tanggungjawab moral,” katanya dalam hantaran di X, kelmarin.

IPC menjangkakan kebuluran berkemungkinan merebak ke wilayah Deir el-Balah dan Khan Younis menjelang akhir September, meliputi kira-kira dua pertiga Semenanjung Gaza.

Pada masa sama, Israel masih meneruskan siri pengeboman di wilayah itu, dengan rakaman AFP menunjukkan asap tebal menyelubungi daerah Zeitun, Gaza City, ketika penduduk mencari sisa barangan di celah runtuhan bangunan.

MALAPETAKA SEBENAR

Jurucakap agensi pertahanan awam Gaza, Mahmud Bassal, menyifatkan keadaan di kejiranan Sabra dan Zeitun sebagai ‘malapetaka sebenar’, dengan keseluruhan blok perumahan musnah.

“Kami terperangkap di sini, hidup dalam ketakutan tanpa tempat untuk dituju. Tiada tempat selamat lagi di Gaza. Setiap langkah kami diiringi kematian,” kata Ahmad Jundiyeh, 35, yang dipindahkan ke pinggir utara Zeitun.

Ahmad memberitahu AFP melalui telefon, penduduk di wilayah itu kini dihantui letupan.

“Kami sentiasa mendengar bunyi bom, jet pejuang, bedilan artileri, malah letupan dron. Kami sangat takut dan seolah-olah pengakhiran hidup semakin dekat,” katanya.

Sementara itu, Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz pada Jumaat berikrar akan memusnahkan Gaza City sebagaimana bahagian lain di wilayah itu, jika Hamas tidak bersetuju untuk melucutkan senjata, membebaskan semua tebusan dan menamatkan perang mengikut syarat rejim.

Penduduk Gaza City melaporkan serangan Israel terhadap kawasan itu tidak berhenti sejak beberapa hari lalu.

“Datang dan lihat apa yang berlaku di kawasan Zeitoun. Kami terpaksa tidur di jalanan seperti lembu. Kasihanilah kami,” kata seorang penduduk Gaza City, Aymen Daloul, 53.

Mahmud Abu Saqer, 24, berkata ramai penduduk meninggalkan bandar sejak Israel mengumumkan rancangan untuk menawan bandar tersebut.

“Lebih 500 hingga 600 keluarga meninggalkan bandar, dan semalam (kelmarin) ribuan lagi berbuat demikian. Bunyi letupan sejak pagi memaksa ramai orang berpindah,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×