SHAH ALAM: Polis kini menyiasat secara terperinci kes seorang pelajar lelaki tingkatan tiga yang terjatuh dari tingkat tiga asrama sebuah sekolah menengah di Sabak Bernam.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, pihaknya mengesahkan telah menerima laporan kejadian itu hari ini.
Katanya, siasatan meliputi aspek keselamatan pelajar, pengurusan asrama, dan latar belakang sosial mangsa serta rakan-rakannya.
“Polis sedang mengumpul keterangan daripada saksi dan individu berhubung kejadian itu. Buat masa ini, sebarang spekulasi termasuk dakwaan unsur buli adalah terlalu awal untuk disahkan,” katanya hari ini.
Kata Shazeli, kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.
“Orang ramai diseru tidak membuat andai yang boleh mengganggu siasatan atau menjejaskan emosi keluarga mangsa. Polis akan akan menjalankan siasatan kes itu secara telus dan menyeluruh,” ujarnya.
Kata beliau, perkembangan kes itu turut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
Terdahulu, media melaporkan seorang pelajar berada dalam keadaan kritikal selepas dikatakan menjadi mangsa buli di asrama.
Keputusan imbasan CT mendapati mangsa mengalami pendarahan pada otak selain rahang patah dan kecederaan paru-paru.
Susulan itu, keluarga tampil membuat laporan polis di Balai Polis Sabak Bernam, kira-kira pukul 5 pagi tadi bagi tindakan lanjut.-UTUSAN.