KOTA BHARU: Kelantan The Real Warriors (Kelantan TRW) meraih bekalan selesa apabila membenam Kuala Lumpur City (KL City FC) 3-1 pada aksi pusingan pertama 16 pasukan Piala FA musim 2025-2026 di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini sebentar tadi.
Pada perlawanan itu, tuan rumah memperoleh gol pertama mereka menerusi kapten pasukan Ifedayo Olusegun yang tenang menghukum kealpaan benteng pertahanan KL City FC pada minit keempat.
Minit ke-14, Ifedayo terus mempamerkan ketajaman penyudah apabila meledakan jaringan kedua Kelantan TRW selepas bertindak pantas menyambar bola muntah dari dakapan penjaga gawang pelawat Quincy Kammeraad.
Ketinggalan dua gol di belakang, KL City FC menggandakan serangan namun Kelantan TRW kental bertahan menyaksikan kedudukan itu kekal hingga tamat separuh masa pertama.
Bermula babak kedua, Sean Selvaraj menambah derita pelawat dengan jaringan ketiga Kelantan TRW pada minit ke-62 menerusi tandukan untuk menewaskan Quincy Kammeraad di gawang gol pelawat.
Usaha keras KL City mencari gol saguhati akhirnya membuahkan hasil pada minit 86 menerusi rembatan deras pemain gantian, Mohamed Syamer Kutty Abba.
Menuju minit-minit akhir perlawanan, Muhammad Safawi terlepas peluang merapatkan jurang jaringan apabila sepakan penalti gagal disempurnakan sekali gus menyaksikan keputusan 3-1 itu kekal hingga tamat perlawanan.
Kemenangan itu menyaksikan tuan rumah membawa bekalan 3-1 untuk bertandang ke Stadium Cheras, Kuala Lumpur untuk perlawanan timbal balas pada 14 September nanti.-UTUSAN