Perlis pertimbang pemberian rebat bersasar selepas tambah baik perkhidmatan air - Utusan Malaysia

Perlis pertimbang pemberian rebat bersasar selepas tambah baik perkhidmatan air

MOHD. Shukri Ramli (dua dari kiri) dalam sidang akhbar selepas sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis di Kangar, Perlis hari ini. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Kerajaan negeri pertimbang pemberian rebat air secara bersasar buat pengguna terdiri dalam kalangan golongan B40 dan penerima e-Kasih selepas penambahbaikan dilakukan terhadap perkhidmatan itu.

Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli berkata, buat masa ini, kerajaan negeri sememangnya memerlukan dana untuk menyelesaikan terlebih dahulu beberapa isu berkaitan perkhidmatan berkenaan antaranya membabitkan paip uzur dan kadar air tak berhasil (NRW).

Katanya, beberapa kajian juga telah dilaksanakan dari masa ke semasa sebelum pelaksanaan pemberian rebat bersasar itu diumumkan.

“Tarif air ini di Perlis bukanlah tertinggi berbanding negeri-negeri lain malah dengan Selangor pun kita lebih rendah sebenarnya, cumanya kita nak perkemas perkhidmatan ini dan mungkin lepas ini kita boleh pertimbang pemberian rebat.

“Kita bergerak ke arah itu cumanya rakyat kena faham kedudukan kewangan Syarikat Air Perlis (SAP) masa ini, di mana kita tak boleh beri lagi,” katanya ketika ditemui selepas sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis di sini hari ini.

Kadar tarif air bagi pengguna domestik di hampir semua negeri di semenanjung Malaysia serta Wilayah Persekutuan Labuan dinaikkan bermula 1 Ogos ini, susulan pewartaan struktur baharu tarif air yang diumumkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

Menerusi kadar baharu itu, Perlis menyaksikan kenaikan caj minimum daripada RM7.20 kepada RM8.80 dengan peningkatan sebanyak RM1.60.

Mohd. Shukri berkata, kerajaan negeri kekal berpendirian untuk mengekalkan kenaikan tarif air itu dan tidak akan menunda pelaksanaan bagi membolehkan penambahbaikan perkhidmatan dilakukan demi kemudahan rakyat.

“Selepas agak sempurna penambahbaikan itu, barulah kita akan bagi rebat untuk pengguna domestik, manakala kilang-kilang dan industri pula tidak akan diberi inisiatif ini,” katanya.

Mohd. Shukri berkata, geran disalurkan oleh kerajaan Persekutuan sekitar RM400 juta kepada kerajaan negeri hanya dapat menyelesaikan kira-kira 50 peratus isu paip uzur di Perlis.

Katanya, baki 50 peratus paip-paip uzur itu akan diserahkan kepada pihak kontraktor namun buat masa ini, kerajaan negeri perlu menyelesaikan geran diterima itu terlebih dahulu di samping membuka tender untuk syarikat-syarikat yang bekerjasama dengan SAP.

“Kita juga hendak selaraskan geran yang diperolehi daripada kerajaan Pusat itu dan kita tidak berhenti separuh jalan setakat milikan geran itu sahaja, kerana kita juga mahu berdikari dengan menyediakan perkhidmatan lori air untuk menghantar bekalan sekiranya berlaku situasi kecemasan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN