Pentadbiran Trump rujuk Universiti Harvard ke Jabatan Kehakiman

Pentadbiran Trump rujuk Universiti Harvard ke Jabatan Kehakiman

KAMPUS Universiti Harvard di Boston, Massachusetts.– AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump merujuk Universiti Harvard ke Jabatan Kehakiman (DOJ), susulan dakwaan diskriminasi antisemitik yang dikatakan berlaku di institusi pengajian tinggi terkemuka itu.

Tindakan itu dimaklumkan menerusi satu surat yang dihantar Jabatan Kesihatan dan Perkhidmatan Awam (HHS) AS bertarikh 31 Julai kepada pihak kepemimpinan Harvard.

Menurut surat berkenaan, siasatan yang dijalankan Pejabat Hak Sivil (OCR) mendapati Harvard melanggar undang-undang hak sivil persekutuan kerana gagal menangani gangguan terhadap pelajar Yahudi dan Israel.

“Usaha kedua-dua pihak yang berlangsung selama beberapa bulan tidak membuahkan hasil. Justeru, OCR tiada pilihan selain merujuk perkara ini kepada DOJ untuk memulakan prosiding yang sewajarnya bagi menangani diskriminasi anti-Yahudi oleh Harvard,” jelas surat itu.

Pentadbiran Trump sebelum ini menggantung dana persekutuan bernilai berbilion dolar kepada universiti itu, yang digunakan untuk penyelidikan perubatan serta program lain, susulan kontroversi berkaitan isu berkenaan.

Susulan itu, Harvard memfailkan saman terhadap kerajaan AS bagi menuntut semula dana tersebut pada awal tahun lalu.

Tindakan kerajaan Persekutuan itu bagaimanapun mengundang kritikan daripada pakar hak asasi, ahli akademik dan beberapa pihak dalam kalangan pensyarah, yang menyifatkan siasatan tersebut sebagai helah untuk mengukuhkan kawalan kerajaan terhadap universiti serta mengancam kebebasan akademik serta kebebasan bersuara.

Pentadbiran Trump juga dilaporkan pernah mengancam untuk memotong peruntukan dana persekutuan kepada universiti yang terlibat dalam protes pro-Palestin tahun lalu, yang membantah tindakan ketenteraan Israel di Gaza.

Pihak kerajaan mendakwa universiti tersebut membiarkan sentimen anti-Yahudi berleluasa sepanjang demonstrasi berlangsung, namun penunjuk perasaan termasuk kumpulan Yahudi menafikan dakwaan itu, dan menegaskan kritikan mereka ditujukan kepada tindakan Israel serta pendudukan di wilayah Palestin, bukan terhadap agama Yahudi.

Antara tuntutan utama penunjuk perasaan termasuk desakan agar kerajaan AS menghentikan sokongan terhadap Israel serta gesaan supaya universiti menarik pelaburan daripada syarikat pembuat senjata dan entiti yang menyokong pendudukan Israel di tanah Palestin.

Harvard setakat ini masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung surat terbaharu daripada HHS namun dalam kenyataan terdahulu, universiti itu menegaskan komitmennya untuk memerangi sebarang bentuk diskriminasi.

Untuk rekod, Universiti Columbia pada minggu lalu bersetuju membayar lebih AS$220 juta (RM1.04 bilion) bagi menyelesaikan siasatan persekutuan terhadapnya, manakala laporan The New York Times pula menyebut Harvard bersedia membelanjakan sehingga AS$500 juta (RM2.36 bilion) bagi menamatkan pertikaian dengan kerajaan.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×