Pegawai polis Thailand lindungi sindiket dadah rentas sempadan?

Pegawai polis Thailand lindungi sindiket dadah rentas sempadan?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NARATHIWAT: Seorang pegawai kanan polis berpangkat kolonel di wilayah ini ditukarkan serta-merta ke Bangkok selepas disyaki terlibat dengan sindiket pengedaran dan penyeludupan dadah rentas sempadan.

Menurut sumber, pegawai kanan terbabit ditahan bagi membantu siasatan selepas pa­sukan khas polis wilayah 9 dan Narathiwat melakukan serbuan di ibu pejabat polis daerah pada 26 Ogos lalu.

Katanya, kejayaan itu hasil maklumat yang diperoleh daripada pautan kewangan rangkai­an pengedaran dadah utama Selatan Thailand.

“Jejak kewangan pegawai polis terbabit dikaitkan dengan rangkaian pengedaran dadah utama yang menyeludup kira-kira 900 kilogram methamphe­tamine di Daerah Tak Bai.

“Penyeludupan itu dipatahkan pasukan khas Bahagian Siasatan Narkotik Polis Wilayah Narathiwat yang memintas sebuah pikap sayur-sayuran pada pukul 3.30 pagi, 14 Ogos lalu,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Menurut sumber itu, pegawai kanan polis terbabit kini ditukarkan serta-merta ke Pusat Gerakan Polis Diraja Thai di Bangkok dan siasatan lanjut masih dijalankan.

Katanya, arahan pertukaran itu ditandatangani Pesuruhjaya Polis Thailand, Jeneral Kittirat Phanphet.

Sumber itu juga tidak menolak kemungkinan serangan bom kereta di sebuah pusat pemeriksaan di Daerah Tak Bai, seminggu selepas rampasan itu dilakukan sindiket penyeludupan dadah sebagai bantahan terhadap operasi besar-besaran yang dilakukan sekarang.

“Sebelum ini pihak berkuasa mengesyaki serangan bom itu dilakukan kumpulan pejuang pembebasan, tetapi kini tidak menolak ia dilakukan sindiket dadah selepas beberapa siri operasi rampasan harta dan dadah, sehingga hampir melumpuhkan mereka,” ujarnya.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, Bahagian Siasatan Narkotik Polis Wilayah Nara­thiwat mematahkan cubaan menyeludup 900 kilogram (kg) syabu ke Malaysia selepas menahan seorang lelaki di Tak Bai.

Tangkapan dan rampasan dadah itu dilakukan pada pukul 3.30 pagi selepas menahan sebuah trak pikap yang digunakan untuk mengangkut sayur-sa­yuran dari wilayah utara Thailand, di Daerah Tak Bai. – MINGGUAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN