PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memanggil pemilik syarikat media dalam talian susulan penahanan wartawannya menerusi Op Sohor kerana dipercayai terbabit sindiket penyeludupan.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, pemilik syarikat terbabit akan dipanggil untuk memberi keterangan dalam masa terdekat
“Kami mempunyai sebab untuk percaya bahawa syarikat media itu digunakan sebagai penyamaran, bertindak sebagai pemudah cara dan sebagai platform untuk aktiviti penggubahan wang haram,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata, siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti peranan syarikat berkenaan dalam aktiviti penyeludupan.
“Mereka adalah bekas (anggota ATM) dan siasatan awal mendapati dua individu itu dipercayai terlibat dalam menyampaikan maklumat kepada penyeludup,” jelasnya.
Semalam 10 individu termasuk lima pegawai kanan ATM dan dua wartawan agensi media atas talian direman disyaki terbabit sindiket penyeludupan di selatan tanah air.
Selain itu, turut ditahan reman seorang pengurus syarikat dan pembantu pentadbiran di Malaysian Medical Association (MMA) serta wanita warga asing. – UTUSAN










