Mindef buka tender sewa helikopter

Mindef buka tender sewa helikopter

MOHAMED KHALED Nordin ketika hadir Majlis Beramah Mesra bersama Masyarakat Cina Kota Tinggi di Medan Selera, Kota Tinggi, Johor, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Kementerian Pertahanan (Mindef) sudah membuka tender untuk penyewaan empat buah helikopter yang akan ditutup September ini.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, tender berkenaan dibuka semula berikutan notis pembatalan kontrak sewaan empat helikopter Black Hawk kepada syarikat sebelum ini yang gagal menyediakan mengikut tempoh ditetapkan.

Menurutnya, penilaian sewaan itu turut akan mengambil kira pandangan-pandangan yang dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim sebelum ini.

“Kita memang sudah tamatkan apabila syarikat itu gagal untuk menyediakan helikopter dan kita telah pun mengenakan denda kepada syarikat itu.

“Sekarang ini oleh kerana ada keperluan tentera darat untuk mempunyai penggunaan helikopter maka pihak kementerian sudah pun membuka tender untuk penyewaan empat buah helikopter bagi penggunaan tentera darat.

“Kita akan tengok masa penilaian supaya kita ambil kira pandangan-pandangan yang telah dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim,” katanya dalam sidang akhbar selepas hadir Majlis Beramah Mesra bersama Masyarakat Cina Kota Tinggi di Medan Selera di sini, semalam.

Mohamed Khaled yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi berkata, menerusi tender baharu itu pihaknya akan meneliti dan menilai secara terperinci termasuk membabitkan tempoh hayat helikopter.

“Sewaan Black Hawk dulu maknanya, dia sudah tender, dia menang award, kita batalkan award itu kerana dia (syarikat) gagal untuk sediakan. Jadi sebab itulah dia didenda dan kita tarik dia (syarikat) punya wang jaminan.

“Jadi sekarang ini ada tender baru (empat helikopter) nanti kita nilailah. Kita lihat jenis helikopter, berapa umur helikopter itu, berapa harga sewa dan sebagainya.

“Sebab satu-satu jangka hayat helikopter itu panjang. Oleh kerana kita mahu sewa saja, tentunya tidak mudah hendak dapat yang baharu,” katanya.

Mengenai insiden pesawat pejuang F/A-18D Hornet yang terhempas di Kuantan, Pahang, baru-baru ini, Mohamad Khaled berkata, susulan kejadian itu, Mindef menangguhkan sementara semua operasi pesawat pejuang tersebut.

Katanya, keputusan itu dibuat bagi memberi laluan kepada jawatankuasa penyiasat yang ditubuhkan untuk mengenal pasti punca kejadian.

Katanya, penangguhan itu penting bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

Menurutnya, penangguhan itu membabitkan keseluruhan tujuh pesawat pejuang yang dimiliki Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

“Pihak tentera udara akan tubuhkan jawatankuasa penyiasat, beri mereka masa untuk melakukan siasatan terhadap punca kapal terbang itu terhempas.

“Apa yang penting kita bersyukur juga kerana juruterbang dan salah seorang daripada kru itu selamat dalam kejadian,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta laporan siasatan berhubung insiden itu dibentangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN