Mengenang 80 tahun pengeboman Hiroshima

Mengenang 80 tahun pengeboman Hiroshima

TETAMU jemputan beratur untuk meletakkan jambangan bunga di Tugu Cenotaph, semasa Majlis Memorial Keamanan untuk memperingati ulang tahun ke-80 serangan bom atom pertama dunia di Hiroshima, semalam.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HIROSHIMA: Jepun memperingati ulang tahun ke-80 tahun pengeboman atom di Hiroshima dengan satu upacara penuh penghayatan dan mengingatkan dunia mengenai kengerian yang dicetuskan oleh senjata nuklear.

Upacara peringatan pada Rabu itu diadakan ketika ketegangan antara Amerika Syarikat (AS) dan Russia semakin memuncak.

Doa penuh penghayatan diadakan pada pukul 8.15 pagi, waktu yang sama ketika pesawat AS, Enola Gay, menjatuhkan bom ‘Little Boy’ ke atas bandar Hiroshima di Jepun pada 6 Ogos 1945.

Ratusan pegawai, pelajar dan mangsa terselamat yang berpakaian hitam meletakkan bunga di tugu peringatan, dengan runtuhan bangunan berkubah sebagai latar belakang, sebagai simbolik situasi ngeri yang berlaku.

PERLUMBAAN KETENTERAAN

Datuk Bandar Hiroshima, Kazumi Matsui memberi amaran mengenai trend mempercepatkan perlumbaan ketenteraan di seluruh dunia, di tengah latar belakang konflik seperti pencerobohan Russia ke atas Ukraine serta ketidakstabilan di Asia Barat.

“Perkembangan ini jelas mengabaikan pengajaran yang sepatutnya diambil oleh masyarakat antarabangsa daripada tragedi sejarah.

“Ia mengancam untuk meruntuhkan kerangka pembinaan keamanan yang dibina dengan begitu bersungguh-sungguh,” katanya dalam ucapan semalam.

Angka kematian akibat serangan bom atom di Hiroshima kini dianggarkan mencecah 140,000 orang, bukan sahaja akibat letupan dan bola api dahsyat, bahkan juga kesan radiasi yang berpanjangan.

Tiga hari selepas serangan ke atas Hiroshima, satu lagi bom atom dijatuhkan ke atas Nagasaki pada 9 Ogos, yang meragut 74,000 nyawa.

Jepun akhirnya menyerah kalah pada 15 Ogos, sekali gus menamatkan Perang Dunia Kedua.

Kini, Hiroshima merupakan sebuah metropolis moden dengan 1.2 juta penduduk, namun serangan nuklear itu kekal segar dalam ingatan ramai.

Upacara peringatan tahun ini menyaksikan penyertaan wakil daripada sekitar 120 negara serta wilayah termasuk buat pertama kalinya, dari Taiwan dan Palestin.

Sebuah pertubuhan akar umbi yang memenangi Hadiah Nobel Keamanan tahun lalu, Nihon Hidankyo, mewakili sejumlah kecil mangsa yang terselamat dikenali sebagai hibakusha.

Menurut Kementerian Kesihatan Jepun, setakat Mac lalu terdapat 99,130 hibakusha, dengan purata umur 86 tahun.

JAM KIAMAT

Serangan bom atom di Hiroshima dan Nagasaki pada 1945 kekal sebagai satu-satunya penggunaan senjata nuklear dalam sejarah peperangan, namun kebimbangan ancaman itu semakin meningkat di era moden.

Januari lalu, ‘Jam Kiamat’ yang dikendalikan Buletin Saintis Atom digerakkan ke kedudukan 89 saat sebelum tengah malam, yang paling hampir kepada kemusnahan global sejak diperkenalkan 78 tahun lalu.

Jam simbolik itu menggambarkan betapa hampir manusia kepada bencana global, dan terakhir digerakkan ke 90 saat sebelum tengah malam, susulan pencerobohan Russia ke atas Ukraine pada 2022.

Menurut Institut Penyelidikan Keamanan Antarabangsa Stockholm (SIPRI), Russia dan AS menyumbang kira-kira 90 peratus daripada lebih 12,000 kepala peledak nuklear di dunia.

SIPRI turut memberi amaran dalam laporan Jun lalu, perlumbaan senjata nuklear yang baharu dan berbahaya sedang muncul ketika rejim kawalan senjata semakin lemah, dengan hampir semua sembilan negara bersenjata nuklear kini giat memodenkan senjata mereka.

Awal bulan ini, Presiden AS, Donald Trump mengarahkan penempatan dua kapal selam nuklear, susulan pertelingkahan dalam talian dengan bekas Presiden Russia, Dmitry Medvedev.

Bulan lalu, Matsui menggesa Trump supaya melawat Hiroshima selepas beliau menyamakan pengeboman atom 1945 dengan serangan udara ke atas Iran pada Jun lepas.

“Pada pandangan saya, beliau tidak benar-benar memahami realiti pengeboman atom, yang mana apabila digunakan, akan meragut nyawa orang awam tidak bersalah dan mengancam kelangsungan hidup manusia,” katanya.- AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN