Lantik usahawan baharu urus Tasoh Lake Resort yang terbiar - Abu Bakar - Utusan Malaysia

Lantik usahawan baharu urus Tasoh Lake Resort yang terbiar – Abu Bakar

KEADAAN Tasoh Lake Resort, Padang Besar, yang berada dalam keadaan tidak terurus dan tidak lagi beroperasi buat pengunjung buat masa ini di Padang Besar, Perlis. -UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Pemilik tanah Tasoh Lake Resort telah bersetuju untuk membuka semula pusat pelancongan itu dengan melantik usahawan baharu bagi menguruskan lokasi tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan negeri, Abu Bakar Hamzah berkata, susulan itu, pengusaha-pengusaha tersebut juga akan dipanggil bagi mengadakan perbincangan mengenai perkara itu dalam masa terdekat.

Katanya, kerajaan negeri sememangnya mengambil maklum mengenai isu penutupan pusat pelancongan tersebut yang terletak di kawasan hak milik persendirian.

“Pihak kerajaan negeri sebelum ini hanya memberi sokongan melalui usaha promosi lokasi itu selaras dengan Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024/2025.

“Berdasarkan semakan, premis tersebut telah ditutup sejak Mac 2025 dan penutupan berkenaan disebabkan oleh masalah pengurusan serta kewangan syarikat,” katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis, hari ini.

Abu Bakar menjawab pertanyaan dibangkitkan Haziq Asyraf Dun (PN-Beseri) berhubung status pusat pelancongan Tasoh Lake Resort yang kelihatan terbengkalai.

Sebelum ini, beberapa pihak telah menyuarakan kebimbangan berhubung keadaan terkini lokasi tumpuan itu yang kelihatan tidak terurus, terbiar dan tidak lagi beroperasi buat pelancong.

Mengulas lanjut, Abu Bakar berkata, hasil semakan dengan Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG) negeri juga mendapati syarikat berkenaan gagal membuat bayaran cukai sejak penutupan lokasi tersebut.

“Kerajaan negeri juga akan terus berusaha menghubungi pengusaha berkenaan bagi membincangkan solusi terbaik dalam membangunkan semula kawasan itu memandangkan ia mempunyai potensi tersendiri.

“Malah terdapat juga pelabur yang telah menunjukkan minat untuk mengambil alih pengurusan pusat pelancongan itu,” katanya.

Tambahnya, berdasarkan Sistem Torrens, pemilik berdaftar juga memiliki hak mutlak ke atas hartanah yang didaftarkan mengikut Kanun Tanah Negara 1965.

“Oleh itu, jika penceroboh memasuki hartanah tanpa kebenaran, ia dianggap sebagai tort pencerobohan (trespass to land) yang boleh dituntut walaupun tanpa bukti kerosakan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN