KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mahu pemain industri tempatan mempromosikan keunikan jenama masing-masing sebagai persediaan menjelang penganjuran Tahun Melawat Malaysia 2026.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, langkah tersebut bukan sekadar memperkenalkan perniagaan tetapi untuk memaparkan identiti dan kekuatan produk tempatan di mata masyarakat termasuk antarabangsa.
“Ini termasuk memanfaatkan pendekatan promosi melalui prosedur secara digital. Justeru, promosi tersebut haruslah dimulakan pada waktu kini.
“Pemain industri makanan dan minuman produk tempatan haruslah memanfaat pendekatan tersebut bagi menarik pelancong dalam dan luar negara,” katanya selepas Majlis Pengiktirafan Malaysia Book Of RECORD (MBR) dan Pelancaran Promosi Menu Bulan Kebangsaan di Kopitiam Ali, Muthu dan Ah Hock, di sini hari ini.
Tambahnya, selain dapat meningkatkan nilai komersial, usaha berterusan tersebut juga turut membuka ruang bagi memperkenalkan makanan tradisi rakyat Malaysia yang menjadi sebahagian daripada tarikan utama pelancong.
Bersempena dengan bulan kemerdekaan, jenama Kopitiam Ali, Muthu dan Ah Hock melancarkan promosi nasi lemak yang mana harga sebelum ini, RM13.90 dikurangkan kepada RM6.80.
Potongan harga sebanyak 50 peratus itu dapat dimanfaatkan para pelanggan bermula pada 31 Ogos sehingga 16 September tahun ini.
Sementara itu, mengulas mengenai kewajipan untuk memperoleh sijil halal bagi perniagaan restoran sama ada persendirian atau pembukaan cawangan, Armizan berkata, KPDN juga berusaha mengurangkan birokrasi.
Jelas beliau, ia bertujuan bagi memudahkan proses untuk peniaga mendapatkan sijil halal. – UTUSAN