SEOUL: Dua pekerja maut manakala lima lagi cedera selepas sebuah kereta api merempuh sekumpulan kakitangan penyelenggaraan di sepanjang Laluan Gyeongbu di Cheongdo, Korea Selatan, hari ini.
Tujuh pekerja itu sedang menjalankan pemeriksaan keselamatan pasca banjir apabila kejadian berlaku kira-kira pukul 10.50 pagi, berhampiran stadium laga lembu di Cheongdo.
Kereta Api Mugunghwa No. 1903, yang dalam perjalanan dari Stesen Dongdaegu ke Jinju, melanggar mereka di atas atau berhampiran landasan.
Mangsa merupakan sebahagian daripada kakitangan yang memeriksa struktur cerun rosak akibat hujan lebat baru-baru ini di kawasan berkenaan.
Daripada tujuh pekerja yang dilanggar, dua meninggal dunia di tempat kejadian.
Lima yang terselamat dibawa ke hospital tempatan, dengan sebahagian dilaporkan dalam keadaan kritikal.
Mangsa yang cedera termasuk pekerja subkontraktor daripada syarikat pemeriksaan keselamatan struktur serta kakitangan berkhidmat dengan Korea Railroad Corporation.
Kereta api itu membawa 89 penumpang, namun tiada yang dilaporkan cedera.
Korail memaklumkan, pekerja sedang dalam perjalanan untuk melakukan pemeriksaan terhadap infrastruktur yang rosak akibat banjir ketika nahas berlaku.
“Disebabkan hujan lebat di kawasan Cheongdo sejak beberapa hari lalu, pemeriksaan keselamatn sedang dijalankan,” kata jurucakap Korail sambil memaklumkan punca sebenar kejadian masih dalam siasatan.
Polis kini menumpukan siasatan sama ada langkah keselamatan yang diwajibkan di bawah Akta Keselamatan Kereta Api dipatuhi, termasuk kewujudan pemerhati di lokasi serta penyelarasan awal dengan operasi kereta api.- AGENSI










