KANGAR: Kerajaan negeri melalui jabatan dan agensi berkaitan melaksanakan pelbagai program dan bantuan khusus bagi merangsang minat serta memudahkan penyertaan golongan belia dalam bidang pertanian.
Pada masa ini, jumlah belia terlibat dalam sektor pertanian di Perlis adalah 3,378 orang dan penglibatan golongan muda dalam pertanian sememangnya sangat penting bagi memastikan kesinambungan aktiviti pengeluaran makanan dan daya tahan sektor tersebut di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian negeri, Razali Saad berkata, antara usaha dan inisiatif utama yang sedang dilaksanakan ialah seperti Geran Agropreneur Muda (GAM) iaitu bantuan berbentuk peralatan, input pertanian serta sokongan infrastruktur.
Katanya, ia membabitkan golongan belia berumur 18 hingga 43 tahun yang berminat atau terlibat dalam aktiviti pertanian secara serius.
“Jumlah bantuan adalah sebanyak RM30,000 secara ‘one off’ dan RM50,000 untuk peningkatan kemahiran dengan syarat melepasi tiga tahun selepas bantuan pertama.
“Selain itu, program pembangunan belia tani iaitu inisiatif yang bertujuan mengembeling petani muda dengan penyediaan sumber dana, latihan dan teknologi. Program ini turut menyediakan 15 bimbingan teknikal dan jaringan Pertanian.
“Ia bertujuan mengatasi masalah kekurangan tenaga kerja di dalam sektor pertanian dan mewujudkan peluang pekerjaan kepada golongan belia,” katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan dibangkitkan Megat Hashirat Hassan (PN-Pauh) berhubung jumlah belia yang terlibat dalam sektor pertanian dan apakah usaha atau inisiatif kerajaan negeri untuk membantu golongan belia tani.
Tambah Razali, antara inisiatif lain adalah peruntukan pembangunan pertanian di mana kerajaan negeri menyediakan pelbagai dana di bawah peruntukan pembangunan pertanian.
Katanya, peruntukan tersebut bagi meningkatkan keupayaan petani dengan keutamaan golongan belia.
“Peruntukan itu merangkumi pembangunan industri padi, penyelenggaraan infrastruktur seperti jalan ladang, perataan tanah sawah, penanaman padi menggunakan mesin, sistem pengairan, bantuan input padi dan bimbingan teknikal, sistem pengairan moden, fertigasi, sokongan teknikal dan produk hiliran.
“Tanaman makanan ternakan pula membabitkan program penanaman jagung bijian dan napier yang pada ketika ini dimonopoli oleh golongan belia di mana kebanyakan pengusaha ternakan akan menjalankan aktiviti tanaman makanan ternakan dalam membantu mengurangkan kos yang semakin meningkat,” katanya.-UTUSAN