PHNOM PENH: Kemboja mendakwa menangkap seekor ‘burung merpati’ dilengkapi alat sistem pengesanan global (GPS), kononnya ‘pengintip Thailand’.
Dakwaan itu muncul apabila laman Facebook Battambang Post memuat naik gambar burung berkenaan, yang didapati memakai gelang di kaki bertanda ‘Thailand’.
“Penduduk Kemboja menangkap burung merpati pengintip yang disambung dengan GPS milik Thailand,” dakwa hantaran di laman tersebut.
Ia sekali gus mencetuskan khabar angin kononnya burung itu merupakan sebahagian daripada operasi pengintipan tentera Thailand.
Hantaran itu segera tersebar di media sosial, mencetuskan kritikan dan pertikaian dalam kalangan netizen Thailand.
Ramai daripada mempersendakan dakwaan tersebut, menyifatkannya sebagai lapuk dan tidak masuk akal.
“Mari tengok kebodohan Kemboja. Mereka guna gambar burung merpati yang dipakaikan gelang kaki untuk pertandingan, dan pusing cerita konon askar Thailand hantar merpati dengan GPS untuk intip pasukan Kemboja,” menurut halaman Facebook, Army Militara Force-Reserve.
Insiden merpati pengintip menambahkan lagi unsur jenaka dalam ketegangan yang wujud antara Thailand dan Kemboja, ketika pertikaian sempadan masih belum reda.- AGENSI










