Keluarga Zara rayu tangguh pendakwaan, tuntut pertuduhan lebih berat

Keluarga Zara rayu tangguh pendakwaan, tuntut pertuduhan lebih berat

HAMID ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Peguam kepada keluarga Allahyarham Zara Qairina Mahathir merayu agar pendakwaan terhadap lima remaja yang terbabit dalam kes buli pelajar berusia 13 tahun itu ditangguhkan buat sementara waktu bagi membolehkan pertuduhan lebih berat dikenakan.

Peguam keluarga, Hamid Ismail berkata, pihaknya dimaklumkan bahawa kelima-lima remaja berkenaan akan didakwa di bawah Seksyen 507C(1) Kanun Keseksaan kerana membuli Zara Qairina.

“Selepas kami mengeluarkan kenyataan media semalam, kami baru mengetahui bahawa lima remaja tersebut akan didakwa di bawah seksyen berkenaan. Kami dengan ini memohon agar Peguam Negara menangguhkan pendakwaan itu sementara waktu.

“Kami berharap mereka dituduh di bawah Seksyen 507D(2) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman lebih berat. Jika keterangan sedia ada belum mencukupi, siasatan lanjut perlu dilakukan bagi membolehkan pendakwaan dijalankan mengikut peruntukan itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hamid menegaskan, sekiranya pendakwaan diteruskan di bawah Seksyen 507C(1) Kanun Keseksaan dan semua tertuduh mengaku bersalah, sebarang penemuan baharu hasil inkues atau siasatan lanjut tidak lagi boleh digunakan untuk mendakwa mereka dengan kesalahan lebih berat.

“Kami sangat khuatir jika pendakwaan diteruskan, perkara ini akan terhalang oleh prinsip ‘double jeopardy’ yang termaktub di dalam Artikel 7(2) Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Sehubungan itu, Hamid berkata, pihaknya telah menghantar surat rasmi kepada Peguam Negara pagi ini melalui emel bagi memohon pertimbangan semula terhadap bentuk pertuduhan yang akan dikenakan.

Utusan Malaysia semalam melaporkan, seramai lima remaja terlibat dalam kes buli pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir akan didakwa di Mahkamah Kanak-Kanak Kota Kinabalu, Sabah, esok. 

Peguam Negara, Tan Sri Mohd. Dusuki Mokhtar berkata, kesemua remaja itu berusia di bawah 18 tahun dan akan didakwa mengikut Seksyen 507C(1) Kanun Keseksaan.

“Pertuduhan akan dilakukan di Mahkamah Kanak-kanak Kota Kinabalu, Sabah pada Rabu ini. Lima orang yang akan dituduh dan mereka berusia di bawah 18 tahun,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×