TOKYO: Sebuah rangkaian kedai serbaneka utama Jepun, Ministop, menggantung penjualan bebola nasi onigiri dan beberapa produk deli atau makanan sedia dimakan di 1,600 cawangannya selepas mendapati kakitangan memalsukan tarikh luput makanan.
Siasatan dalaman mendapati ada kakitangan yang menangguhkan pelekat label tarikh luput selama sejam atau dua jam selepas makanan disediakan, manakala sebahagian lagi menukarnya dengan tarikh luput palsu selepas produk dipamerkan untuk dijual.
Kesalahan itu dilaporkan berlaku di 23 cawangan di seluruh Jepun, termasuk bandar utama seperti Tokyo, Kyoto dan Osaka.
Jualan onigiri di kebanyakan kedai digantung sejak 9 Ogos lalu, dan pada Isnin syarikat memperluaskan penggantungan itu kepada produk deli lain bagi menjalankan siasatan.
“Kami dengan ikhlas memohon maaf atas kesulitan dialami oleh pelanggan yang menyokong onigiri dan kotak bento keluaran Ministop,” kata syarikat itu dalam kenyataan semalam.
Setakat ini, tiada laporan masalah kesihatan daripada pelanggan.
Kedai serbaneka atau konbini, merupakan sebahagian daripada kehidupan harian di Jepun, di mana orang ramai, khususnya penumpang tren, singgah untuk mendapatkan makanan yang berpatutan.
Onigiri popular dalam kalangan pelanggan yang mahu makanan segera kerana mudah dibawa.
Ministop mengendalikan lebih 1,800 cawangan di seluruh Jepun, yang menawarkan makanan segar dengan hidangan panas yang dimasak di premis.- BBC










