KANGAR: Jawatankuasa Pembangunan dan Pengurusan Pelaburan Chuping Valley Industrial Area (JPPPCVIA) telah meluluskan dua cadangan projek pelaburan untuk masuk ke kawasan itu dengan jumlah bernilai RM1.56 bilion.
Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli berkata, bagaimanapun, kerajaan negeri buat masa ini masih belum dapat mengumumkan nama syarikat berkenaan memandangkan proses pelaburan itu masih pada peringkat awal khususnya melibatkan penyaluran dana dan penjagaan kerahsian antara pelabur serta klien.
Menurut beliau, dalam memastikan pembangunan di CVIA berada pada tahap terbaik, semua perancangan dan kelulusan projek di kawasan tersebut akan dipantau oleh JPPPCVIA yang dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis.
“Justeru, kerajaan negeri perlu berhati-hati dalam perkara ini agar tidak menjejaskan sebarang pihak berkepentingan dalam usaha pelaburan itu,” katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis hari ini.
Mohd. Shukri menjawab pertanyaan dibangkitkan oleh Saad Seman (PN-Chuping) berhubung status pembangunan di CVIA termasuk jumlah pelabur yang menyatakan komitmen serta jangkaan operasi industri bermula sepenuhnya.
Dalam pada itu, Mohd. Shukri berkata, pada masa kini, infrastruktur dalaman bagi projek CVIA Fasa Satu berkeluasan 440 ekar telah siap dibangunkan sepenuhnya dan bersedia untuk menerima kemasukan pelabur.
“Pelabur pertama iaitu Jabil telah masuk ke tapak dengan projek kilang itu telah dirasmikan oleh Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail pada 7 April lalu manakala Majlis Pecah Tanah Projek Universiti Kuala Lumpur-Asian Sustainable Transportation Institute (UniKL-ASTI) juga telah disempurnakan pada 8 Julai lepas oleh baginda,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Mohd. Shukri berkata, projek Perlis Inland Port (PIP) Fasa Satu juga dijangka akan beroperasi bermula pada bulan September depan.
“Projek PIP ini merupakan salah satu faktor penarik untuk pelabur masuk ke CVIA memandangkan ia akan memudahkan pergerakan barangan atah bahan (movement of goods) bagi pelabur yang masuk ke sana. Pengoperasian PIP akan menarik lebih ramai pelabur ke CVIA dan dijangka lebih rancak menjelang suku kedua 2026 nanti,” katanya.
Tambah beliau, kerajaan negeri sentiasa komited memastikan pelaburan yang dibawa masuk ke Perlis dapat menguntungkan semua pihak khususnya dalam aspek peluang pekerjaan.
“Sebagai contoh, antara item utama dalam perjanjian pembangunan yang ditandatangani oleh kerajaan negeri bersama syarikat pelabur adalah mengutamakan pengambilan anak Perlis bagi tenaga kerja untuk pengoperasian kilang atau projek tersebut.
“Namun begitu, ketetapan ini perlu dilaksanakan secara teratur dengan mematuhi syarat dan peraturan ditetapkan oleh Jabatan Tenaga Kerja (JTK) selaras dengan undang-undang buruh sedia ada,” katanya.-UTUSAN