Jangan ambil kesempatan politikkan isu Jalur Gemilang - Faiz Fadzil - Utusan Malaysia

Jangan ambil kesempatan politikkan isu Jalur Gemilang – Faiz Fadzil

MUHAMMAD Faiz Fadzil (dua dari kiri) menerima borang keahlian baharu Amanah yang diserahkan selepas Majlis Perasmian Serentak Mesyuarat Agung Tahunan Parti Amanah Tahun 2025 di Hotel Putra Regency, Kangar, Perlis, hari ini. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Mana-mana pihak tidak seharusnya mengambil kesempatan mempolitikkan isu Jalur Gemilang demi kepentingan masing-masing sehingga mengugat perpaduan di negara ini.

Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (Amanah), Muhammad Faiz Fadzil berkata, martabat Jalur Gemilang dan kepentingan negara seharusnya diletakkan sebagai keutamaan di hadapan berbanding mengapi-apikan isu berkenaan kepada sesetengah kumpulan mahu pun individu.

Katanya, insiden Jalur Gemilang digantung terbalik itu juga dalam siasatan polis dan mana-mana pihak didapati bersalah akan dikenakan tindakan tanpa mengira latar belakang.

“Siapa salah kenalah lalui proses undang-undang tapi tak bolehlah jadikan isu ini sebagai isu politik semata-mata untuk dapatkan sokongan.

“Sampai bila kita nak hidup dalam keadaan macam ini dan konflik kaum kadang-kadang tercetus disebabkan oleh benda-benda kecil sebegini,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Serentak Mesyuarat Agung Tahunan Parti Amanah 2025 di sini hari ini.

Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) sebelum ini mengecam Ketua Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Salleh yang bertindak mengetuai perarakan di Kepala Batas, Pulau Pinang pada 14 Ogos lalu berhubung isu Jalur Gemilang dipasang secara terbalik di sebuah premis perniagaan.

Tindakan tersebut mencetuskan kecaman DAP yang menyifatkan himpunan berkenaan sebagai provokatif dan DAPSY juga menggesa supaya DAP memutuskan hubungan politik dengan Akmal atas alasan beliau melagakan masyarakat serta mengancam keharmonian kaum.

Mengulas lanjut, Muhammad Faiz berkata, isu yang berlaku itu juga tidak memberi kesan kepada Kerajaan Perpaduan memandangkan gabungan di dalamnya terdiri daripada parti-parti lama dan telah melalui reformasi.

“Gabungan kedua parti lama dan reform ini menghidupkan satu sistem politik dan ekonomi baharu untuk pulihkan negara ini daripada banyak skandal dan masalah.

“Jadi, janganlah cari perbezaan yang boleh runtuhkan perpaduan itu. Kita boleh bercanggah tapi carilah titik persamaan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Muhammad Faiz yakin Amanah akan mempunyai kerusi untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) di negeri ini menerusi rundingan sesama parti komponen di dalam Kerajaan Perpaduan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN