ISKANDAR PUTERI: Perairan Selat Tebrau berhampiran Jeti Puteri Harbour semalam bertukar meriah apabila hampir 100 Jalur Gemilang berkibar megah di atas 30 bot nelayan Kampung Sungai Melayu yang menyertai konvoi sempena sambutan Bulan Kemerdekaan.
Bot-bot nelayan yang dihias dengan Jalur Gemilang dan bendera Negeri Johor pelbagai saiz itu berarak dari jeti Marina Bay Puteri Harbour sejauh lebih tiga kilometer menuju ke Rakit Stay Kampung Sungai Melayu, sekali gus mencuri perhatian orang ramai.
Ketua Nelayan Kampung Sungai Melayu, Kamaruddin Ahmad berkata, konvoi itu menjadi simbol semangat patriotik masyarakat nelayan yang saban tahun meraikan Hari Kebangsaan dengan cara tersendiri.
“Sejak 2012 kami menjadikan konvoi bot ini sebagai tradisi. Bezanya, kali ini kami mula dari Puteri Harbour sebelum bergerak ke jeti kampung Sungai Melayu. Semangat nelayan menyambut Merdeka ini datang dari hati, ia tidak boleh dibeli,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui semalam.
Kamaruddin berkata, inisiatif itu turut mendapat sokongan pengusaha eko pelancongan tempatan yang melihat konvoi Jalur Gemilang sebagai tarikan pelancong selain menyemai rasa cinta negara dalam kalangan generasi muda.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar, Datuk Pandak Ahmad berkata, program itu mencerminkan semangat kesatuan komuniti maritim yang menjadikan laut sebagai sumber kehidupan.
“Konvoi kali ini mengambil masa kira-kira 20 minit. Dalam majlis sama, kita juga menyerahkan Jalur Gemilang kepada 11 Ketua Kampung di DUN Kota Iskandar sebagai simbolik sambutan Hari Kebangsaan,” katanya.
Pandak berkata, program berarak dengan menaiki bot sepanjang kempen Bulan Kebangsaan ini akan diadakan setiap tahun. – UTUSAN










