KANGAR: Isu pelaksanaan parkir pintar dan kenaikan tarif air di Perlis menghangatkan suasana dewan selepas menjadi antara perkara dibangkitkan sama ada oleh wakil kerajaan dan pembangkang dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis di sini hari ini.
Antaranya Wan Zikri Afhtar Ishak (PN-Tambun Tulang) yang menegur kelemahan khususnya dalam aspek penerangan sehingga menyebabkan isu tersebut terus berlarutan dan menjadi tidak terkawal sehingga menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat.
Wan Zikri berkata, sejak lebih tiga bulan lalu pelbagai isu melingkari di negeri ini dengan aduan serta rungutan diterima dengan paling merisaukan apabila ia gagal diuruskan dengan baik khususnya dari segi penerangan yang berkesan kepada rakyat di Perlis.
Beliau juga tidak menyangka soal parkir berpalang antaranya sudah berlarutan dan tidak terkawal sehingga menjadi isu nasional.
“Saya nak sentuh sikit dalam soal penerangan sebagai contoh, kebanyakkan isu hanya Menteri Besar yang banyak bercakap, mana Exco berkaitan ?. Bukan hendak marah, benda-benda ini tidak boleh diletak semua di atas bahu Menteri Besar. Sampai satu tahap, semua isu Menteri Besar kena jawab.
“Saya harap Exco berkaitan yang juga memegang portfolio penerangan, harap ia dapat ditangani dengan segera. Begitu juga dalam isu tarif air, banyak kita terima maklumat berbeza, tidak sampai dengan jelas kepada rakyat.
“Penerangan, tolonglah proaktif, kalau penerangan kita gagal, semua yang kita lakukan dengan baik sekali pun, kalau penerangan kita gagal disampaikan dengan baik, kita dianggap gagal. Lihat semula unit penerangan yang ada,” katanya dalam sesi sidang DUN Perlis di sini hari ini.
Ketua pembangkang, Gan Ay Ling pula berkata, kenaikan tarif air daripada RM7.20 kepada RM8.80 bagi setiap meter padu adalah satu langkah mengejutkan ramai khususnya dalam kalangan rakyat golongan B40.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Indera Kayangan juga mempersoal apakah rasional kenaikan tersebut sedangkan kualiti perkhidmatan air di negeri ini masih tidak memuaskan.
“Kadar Air Tidak Berhasil (NRW) direkodkan melebihi 60 peratus iaitu antara yang tertinggi di Malaysia. Ini bermakna separuh daripada air terawat hilang begitu sahaja bukan kerana penggunaan rakyat, tetapi disebabkan sistem paip terlalu usang, kebocoran berlarutan dan kelemahan pengurusan dan penyelenggaraan.
“Selain itu, kualiti bekalan air juga rendah dan tidak konsisten di mana rakyat khususnya di kawasan Titi Tinggi, Sanglang, Pauh, Bintong, Arau dan Kangar mengadu mengenai air keruh, bekalan air sering terputus tanpa notis dan kualiti air seharian yang digunakan meragukan.
“Tekanan air di sesetengah kawasan juga sangat lemah dengan ada penduduk terpaksa bangun seawal pukul 4 pagi semata-mata untuk mengisi air,” katanya.
Haziq Asyraf Dun (PN-Beseri) pula berharap isu parkir berpalang dapat diberikan perhatian khususnya daripada segi pelaksanaan yang perlu diperbaiki serta diperbaharui.
“Kita bukan tolak pembaharuan, namun kaedah pelaksanaan itu perlu diperbaiki dan diperbaharui. Pelaksanaan juga dilihat terlalu cepat dan apabila terlalu cepat menyebabkan rakyat terkejut sekali gus menimbulkan kemarahan. Sepatutnya beri penerangan, rangka satu model dan ambil satu dua tempat terlebih dahulu untuk dilakukan kajian.
“Kalau sudah terbaik, penerangan jelas, Insya-Allah rakyat akan terima,” katanya.-UTUSAN