JOHOR BAHRU: Seorang ibu mendakwa dia terdesak dan tidak mempunyai pilihan selain meminta bantuan anak-anaknya menjual tisu bagi menambah pendapatan mereka sekeluarga.
Wanita berusia 34 tahun itu mendedahkan perkara tersebut selepas menerima kunjungan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Johor, Khairin-Nisa Ismail di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Melana Indah, di sini hari ini.
Tambah wanita berkenaan, tindakan sedemikian bukan bermaksud dia mengabaikan atau tidak mempedulikan keselamatan anak-anaknya.
Sebaliknya, wanita yang sedang dalam proses berpisah dengan suaminya itu memaklumkan dia memantau pergerakan anak-anaknya dari dalam kereta sambil menjaga anak bongsu yang kini berusia 2 tahun.
Sementara itu, Khairin-Nisa memberitahu, pihaknya mengesan kejadian itu menerusi satu video tular memaparkan anak-anak wanita berkenaan menjual tisu di media sosial pada 5 Ogos lalu.
Katanya, video tular memaparkan kanak-kanak menjual tisu di tempat awam telah mencetuskan kebimbangan orang awam yang turut membuat aduan ke Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Siasatan dibuat mendapati keluarga ini terdiri daripada seorang ibu bersama lima anak. Tiga daripadanya berusia 6, 8, dan 9 bersekolah, manakala dua lagi masih kecil.
“Ibu mereka pula bekerja sebagai penghantar makanan dengan pendapatan sekitar RM400 sebulan. Selain itu dia turut menerima bantuan bulanan daripada JKM dan Majlis Agama Islam Johor (MAINJ),” ujarnya.
Tambah Khairin-Nisa, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) juga telah menasihatkan wanita tersebut bersama anak-anaknya agar tidak lagi menjual tisu.
“Kanak-kanak yang bersekolah akan menerima Rancangan Makanan Tambahan (RMT) bagi memastikan mereka mendapat makanan sewajarnya setiap hari persekolahan.
“Wanita itu juga dinasihat tidak membawa anak-anak ketika bekerja, selain pemantauan berterusan akan terus dibuat dari semasa ke semasa bagi memastikan kebajikan dan keselamatan kanak-kanak terjaga,” jelasnya. – UTUSAN









