JAKARTA: Gunung berapi Lewotobi Laki-laki yang terletak di wilayah Nusa Tenggara Timur (NTT), Indonesia kembali meletus hari ini dengan memuntahkan abu panas setinggi lebih 10 kilometer (km) ke udara.
Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi (PVMBG) Indonesia memaklumkan, letusan terbaharu itu merupakan antara beberapa siri letusan yang berlaku sejak beberapa bulan lalu.
Ini termasuk pada awal Julai apabila gunung tersebut melepaskan debu panas setinggi 18 km, sekali gus menjejaskan penerbangan masuk dan keluar ke pulau peranginan terkenal, Bali.
Susulan itu, pihak berkuasa memberi amaran kepada penduduk agar mengosongkan kawasan dalam lingkungan enam hingga tujuh km dari kawah gunung dan berwaspada terhadap risiko aliran lahar sekiranya berlaku hujan lebat.
Ketua agensi geologi, Muhammad Wafid berkata, letusan itu berpunca daripada pengumpulan gas yang berlaku sejak beberapa minggu lalu.
Beberapa keping gambar yang dikongsikan agensi berkenaan memperlihatkan fenomena kilat vulkanik menyambar di sekitar kawah gunung, dengan asap tebal memantulkan cahaya merah daripada lava yang mengalir deras menuruni lereng-lereng gunung.
Setakat ini tiada laporan kerosakan atau kematian direkodkan.- AGENSI










