Graduan E&E teras lonjak ekonomi negara

Graduan E&E teras lonjak ekonomi negara

graduan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kira-kira 38,000 graduan elektrik dan elektronik (E&E) yang bakal dilahirkan menjelang 2030 dianggap bersesuaian bagi menyokong pertumbuhan industri strategik negara dan memenuhi keperluan sektor teknologi baharu termasuk semikonduktor, automasi serta tenaga hijau.

Pengarah Pusat Pembangunan Karier, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Salleh Amat berkata, jumlah itu memadai jika diselarikan dengan pembangunan sektor pembuatan, teknologi cip, kereta elektrik, aeroangkasa dan kilang pintar.

“Kerajaan perlu tegas memastikan syarikat pelabur asing mengutamakan jurutera tempatan berbanding membawa tenaga kerja dari negara asal mereka bagi mengisi jawatan teknikal dan kejuruteraan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau turut menegaskan, peluang pekerjaan perlu diperluas melalui pertumbuhan industri berkaitan E&E seperti tenaga solar, kereta elektrik, teknologi hijau, aeroangkasa, reka bentuk cip dan automasi kilang pintar.

“Permintaan graduan E&E akan terus meningkat seiring perkembangan teknologi kecerdasan buatan (AI), 5G, Internet of Things atau Internet Benda (IoT) dan kemajuan sektor semikonduktor global.

“Walaupun ada laporan memerlukan sehingga 60,000 tenaga kerja, jumlah 38,000 itu memadai jika diselarikan dengan pembangunan sektor pembuatan,” katanya.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, dijangka seramai 38,000 graduan bakal dihasilkan dalam tempoh 2025 sehingga 2030 bagi program elektrik dan elektronik (E&E) di institut pengajian tinggi.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, buat masa ini terdapat 17 universiti awam menawarkan program itu di peringkat sarjana muda sementara di peringkat institut pengajian tinggi swasta (IPTS) pula, ia ditawarkan pada dua peringkat iaitu ijazah sarjana muda di 39 buah institusi dan diploma di 15 buah IPTS.

Tambah Salleh, graduan mesti memiliki kemahiran tinggi dalam reka bentuk litar bersepadu, pembungkusan cip canggih, fabrikasi semikonduktor, automasi, robotik dan keselamatan siber untuk bersaing di pasaran global.

Penawaran kursus tambahan, program peningkatan kemahiran, pengasahan semula kemahiran serta pensijilan industri antarabangsa seperti Amazon, Microsoft atau Persatuan Peralatan dan Bahan Semikonduktor Antarabangsa (SEMI) dapat meningkatkan kebolehpasaran dan kredibiliti graduan di peringkat antarabangsa.

Salleh berkata, kerjasama universiti dengan syarikat multinasional perlu diperkukuh melalui latihan industri, projek akhir tahun berkaitan industri dan peluang penyelidikan bersama pusat R&D terkemuka.

Beliau turut menggesa graduan bergiat aktif dalam persatuan profesional seperti Institut Jurutera Elektrik dan Elektronik (IEEE) atau Institut Jurutera Malaysia (IEM) bagi membina rangkaian global, selain memupuk kemahiran insaniah seperti komunikasi, pemikiran kritis dan penyelesaian masalah.

“Graduan E&E adalah aset negara. Mereka bukan sekadar pengisi jawatan, tetapi pemacu daya saing Malaysia dalam ekosistem teknologi global,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN