Ejen along simbah cat ke rumah peminjam dipenjara

Ejen along simbah cat ke rumah peminjam dipenjara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Mahkamah Majistret di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara empat tahun kepada seorang ejen pinjaman wang tanpa lesen atau along selepas dia mengaku bersalah atas dua pertuduhan menyimbah cat ke rumah dan kereta peminjam wang di Pasir Tumboh dekat sini pada bulan lalu.

Tertuduh, Mohamad Zulkarnain Zulkipli, 33, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Rais Imran Hamid.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan khianat terhadap harta seorang wanita berusia 56 tahun dengan cara menyimbah cat merah dan hitam ke dinding rumah wanita berkenaan. Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Taman Sri Keranji, Pasir Tumboh dekat sini pada 17 Julai dan 19 Julai lalu.

Bagi pertuduhan kedua, lelaki itu dituduh melakukan khianat terhadap mangsa sama dengan cara menyimbah cat berwarna merah dan hitam ke atas kereta jenis Honda Jazz selain membaling bata sehingga menyebabkan cermin belakang kereta itu pecah. Perbuatan itu dilakukan di lokasi dan tarikh yang sama dengan pertuduhan pertama.

Kedua-dua pertuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang daripada setahun dan tidak lebih lima tahun dengan denda atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Syamsul Ikhmal Ramli manakala tertuduh diwakili Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Siti Nur Suhada Zaidi.

Terdahulu, Muhammad Syamsul Ikhmal memohon hukuman setimpal dengan mengambil kira faktor kepentingan awam selain memberi pengajaran kepada tertuduh agar tidak mengulangi kesalahan kesalahan tersebut.

Siti Nur Suhada dalam rayuannya memaklumkan bahawa pengakuan salah tertuduh telah menjimatkan masa dan kos semua pihak.

“Tertuduh sudah insaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan tersebut selain memohon hukuman penjara minimum daripada tarikh ditangkap iaitu 25 Julai lalu,” katanya.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara empat tahun bermula tarikh sabitan iaitu hari ini.

Sebelum ini media melaporkan, lima ejen pinjaman wang tanpa lesen atau along dicekup selepas dipercayai terlibat dalam kegiatan khianat berkaitan pinjaman wang di sekitar Kota Bharu, pada 23 dan 25 Julai lalu.

Kesemua lelaki berusia 25 hingga 39 tahun itu ditahan dalam dua siri serbuan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan dengan kerjasama Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu menerusi Op Vulture.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN