Jufazli didenda RM11,000 muat naik video jelik babitkan Ismail Sabri, UMNO

Jufazli didenda RM11,000 muat naik video jelik babitkan Ismail Sabri, UMNO

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Aktivis politik, Jufazli Shi Ahmad didenda RM11,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah membuat hantaran jelik melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan UMNO, empat tahun lepas.

Hakim Izralizam Sanusi menetapkan hukuman itu selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap Jufazli, 37, selaku Orang kena Saman (OKS).

“Setelah mahkamah menilai dan menimbang keseluruhan pembelaan tertuduh serta keterangan saksi-saksi dalam kes ini, OKS didapati bersalah dan disabitkan sebagaimana dalam pertuduhan.

“Mahkamah mengingatkan kepada OKS supaya tidak mengulangi kesalahan seperti ini. Sekiranya, berlaku kesalahan sama hukuman yang dikenakan pasti akan lebih berat dan boleh termasuk hukuman pemenjaraan,” katanya.

Jufazli juga diperintahkan untuk menjalani hukuman pemenjaraan selama 11 bulan sekiranya gagal membayar denda itu.

Mengikut pertuduhan, bekas calon bebas Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Papat itu didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik dengan memuat naik video itu ke akaun TikTok@King Maker pada pukul 3 petang, 23 Jun 2022.

Pautan video jelik itu dibaca dan dilihat pada 3 petang di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada 24 Jun tahun sama.

Pertuduhan mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233 (3) akta sama yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga satu tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan, dan boleh didenda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Dalam penghakiman ringkasnya, Izralizam berkata, mahkamah mengambil kira hujahan pembelaan bahawa lelaki dalam video yang dimuat naik itu bukan dirinya kerana tidak pernah memperkenalkan diri selain tidak mempunyai persamaan wajah.

Bagaimanapun, hujahan itu didapati bercanggah dengan laporan CyberSecurity Malaysia berhubung analisis pemilikan akaun dan pengecaman wajah yang mengenal pasti OKS sebagai pembuat video tersebut.

“OKS menyatakan lelaki di dalam video tersebut tidak mempunyai persamaan wajah dengannya kerana beliau mempunyai tahi lalat di atas hidung sebelah kanan.

“Dakwaan ini bertentangan dengan laporan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengesahkan orang yang mengendalikan akaun TikTok@King Maker adalah OKS.

“Laporan CyberSecurity Malaysia yang berkaitan analisis pemilikan akaun dan wajah, menyatakan OKS sebagai pembuat video tersebut,” kata hakim itu lagi.

Timbalan Pendakwa Raya Anis Hakimah Ibrahim memohon hukuman setimpal mengambil kira faktor kepentingan awam bagi memberi mesej jelas kepada masyarakat bahawa perbuatan dilakukan OKS adalah satu kesalahan serius.

Bagaimanapun, peguam bela Ramesh N.P. Chandran yang mewakili Jufazli memohon hukuman berbentuk denda diberikan kepada anak guamnya atas alasan tidak mempunyai pendapatan tetap selain perlu menanggung ibu dan bapa.

Perbicaraan kes yang bermula Jun lalu melibatkan enam saksi pendakwaan dan dua saksi pembelaan termasuk OKS dipanggil memberi keterangan.

Jufazli menjelaskan bayaran denda tersebut hari ini. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN