KUALA LUMPUR: Ibu kepada Allahyarham Zara Qairina Mahathir kekal dengan pendiriannya selepas dua kali ditanya mengenai proses bedah siasat terhadap jasad anaknya ketika di hospital pada 17 Julai lalu.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pada kali pertama, pegawai penyiasat menemui ibu mangsa, Noraidah Lamat selepas doktor mengesahkan kematian pelajar tersebut, namun wanita itu menolak untuk berbuat demikian.
Katanya, wanita itu menyatakan bahawa dia mahu pengebumian anaknya disegerakan kerana mangsa sudah cukup menderita.
“Pada pukul 3.30 petang (17 Julai), pegawai penyiasat sampai ke hospital dan doktor memaklumkan keperluan menjalankan bedah siasat adalah urusan polis. Pegawai itu kemudiannya berjumpa dengan ibu mangsa dan memberitahu keperluan membuat proses itu.
“(Namun), ibu mangsa memaklumkan hendak menyegerakan pengebumian kerana anaknya sudah cukup menderita,” katanya di Dewan Rakyat, semalam.
Seterusnya, Saifuddin berkata, doktor yang bertugas pada hari sama sekitar pukul 5 petang sekali lagi bertemu ibu mangsa, namun wanita itu kekal dengan pendiriannya untuk menyegerakan pengebumian.
“Kemudian (ibu mangsa) mengisi dan menandatangani surat akuan enggan (menjalankan) proses bedah siasat mayat atas kemahuannya sendiri yang dsaksikan oleh kakak iparnya.
“Dokumen semua siap, jadi sikap pegawai penyiasat ketika itu adalah menghormati sepenuhnya (pendirian wanita tersebut),” katanya.
Tegasnya, berdasarkan akuan daripada Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, terdapat ketidakpatuhan dari segi prosedur siasatan oleh pegawai polis tersebut. – UTUSAN










