GEORGE TOWN: Dakwaan kononnya institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini dipenuhi pelajar dari China sehingga menutup peluang pelajar tempatan adalah tidak berasas dan mengelirukan.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, dasar pengambilan pelajar di IPT kekal memberi keutamaan kepada anak-anak tempatan dan tidak pernah dikorbankan demi pelajar antarabangsa.
“Itu tidak benar (lambakan pelajar warga China). Kita tidak pernah langsung mengorbankan dari segi kuota yang ditetapkan Unit Pusat Universiti (UPU) kita.
“Dasar kita jelas, keutamaan universiti awam adalah untuk anak-anak Malaysia. Kalau UPU tetapkan pengambilan 50,000 pelajar tempatan maka jumlah itu akan tetap dipenuhi,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan 32nd IEEE International Symposium on the Physical and Failure Analysis of Integrated Circuits (IPFA 2025) di sini, hari ini.
Zambry mengulas kenyataan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong yang sebelum ini membangkitkan isu berkenaan.
Ka Siong ketika memetik statistik daripada kajian Institut Analisis Strategik dan Penyelidikan Dasar (Insap), badan pemikir MCA, menyifatkan perkara itu sebagai trend yang membimbangkan.
Mengulas lanjut, Zambry berkata, kementerian sentiasa terbuka untuk pertemuan atau perbincangan sekiranya ada kekeliruan. Beliau justeru menasihatkan agar isu berkenaan tidak dijadikan polemik yang boleh mencetus keresahan dalam kalangan rakyat.
“Saya tidak mahu wujudkan polemik yang merugikan. Kalau kita diam, orang akan anggap tuduhan itu betul. Jadi saya wajib beri penjelasan,” katanya.
Beliau berkata, Malaysia ketika ini menjadi tuan rumah kepada pelajar antarabangsa dari lebih 150 negara, namun kemasukan mereka adalah selaras dengan dasar pengantarabangsaan kerajaan dan tidak menjejaskan pengambilan pelajar tempatan.
“Kita ada pelajar antarabangsa dari lebih 150 buah negara. Tetapi, sistem pengambilan kekal adil. Mereka memilih Malaysia kerana yakin dengan sistem pendidikan kita, bukan kerana kita ketepikan pelajar tempatan,” katanya.
Zambry berkata, pelajar asing memilih Malaysia kerana yakin dengan kualiti pendidikan tinggi negara ini, apatah lagi dalam konteks geopolitik semasa yang menjadikan Malaysia antara pilihan utama rantau Asia. – UTUSAN










