BEIJING: Olimpik robot pertama di dunia secara rasmi bermula minggu ini di China, menarik penyertaan robot humanoid dari 16 negara untuk bersaing dalam pelbagai jenis pertandingan.
World Humanoid Robot Games, yang berlangsung selama tiga hari itu, menyaksikan robot kecerdasan buatan (AI) bertanding dalam pelbagai acara sukan seperti bola sepak, olahraga trek dan padang, tinju serta ping pong.
Selain itu, robot berkenaan turut diuji melalui pelbagai cabaran khas seperti menyusun ubat, mengendalikan bahan dan perkhidmatan pembersihan, bagi menilai keupayaan dalam situasi dunia sebenar.
Lebih 500 robot humanoid daripada 16 negara termasuk Amerika Syarikat (AS), Jerman dan Brazil, dengan 192 mewakili universiti manakala 88 lagi daripada syarikat swasta.
Dalam perlumbaan 1,500 meter, humanoid juara tempatan Unitree mencatat masa terpantas enam minit 29 saat, mengatasi semua pesaingnya.
Bagaimanapun, pencapaian itu masih jauh ketinggalan berbanding rekod dunia manusia sebanyak tiga minit 26 saat.
Kerajaan bandar Beijing merupakan antara badan penganjur acara itu, menekankan kepentingan industri robotik yang sedang berkembang di China serta mencerminkan aspirasi negara dalam bidang AI dan automasi.
Inisiatif robotik China juga berkembang ketika negara itu menghadapi populasi yang menua dan pertumbuhan ekonomi perlahan.
Sektor itu menerima subsidi kerajaan melebihi AS$20 bilion (RM84 bilion) sepanjang tahun lalu, dengan rancangan untuk menubuhkan dana bernilai satu trilion yuan (RM577 bilion) bagi menyokong syarikat pemula AI dan robotik.
China turut menganjurkan beberapa acara robotik berprofil tinggi dalam beberapa bulan kebelakangan ini, termasuk maraton robot humanoid pertama dunia, persidangan robot dan pembukaan kedai runcit khas untuk teknologi itu.
Walaupun sesetengah pihak melihat pertandingan dan acara demikian sebagai gimik publisiti, pakar industri menganggapnya pemangkin untuk memajukan robot humanoid ke arah aplikasi praktikal dalam dunia sebenar.- AGENSI










