KANGAR: Masyarakat perlu memberi ruang sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan terperinci seterusnya merungkai segala persoalan berbangkit mengenai kematian Zara Qairina Mahathir, 13,
Penolong Setiausaha II Pertubuhan Intelek Wawasan Malaysia, Nurin Qasdina Hairolnizam berkata, orang ramai juga diminta supaya tidak menyebarkan spekulasi atau mencipta naratif sendiri yang boleh mengganggu siasatan sedang dijalankan.
Katanya, siasatan tersebut tidak perlu dipertikaikan lagi kerana dua pemimpin utama negara iaitu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail telah memberikan jaminan bahawa kes itu akan disiasat dengan terperinci agar keadilan dapat ditegakkan.
“Kita semua mahu keadilan ditegakkan buat Allahyarham Zara Qairina dan itu hanya boleh berlaku jika proses siasatan diberi laluan yang adil dan bebas dari tekanan.
“Terima kasih kepada Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri serta seluruh rakyat Malaysia yang menjunjung tinggi proses keadilan di negara ini dengan penuh kematangan dan tanggungjawab,” katanya.
Sebelum ini, Anwar telah menegaskan bahawa kerajaan tidak akan berkompromi dalam menegakkan keadilan untuk Zara Qairina dan turut menekankan bahawa prinsip Keadilan Tanpa Kompromi adalah asas kepada siasatan semula kes ini.
Dalam masa yang sama, Saifuddin turut memberi jaminan bahawa pihak polis sedang memperkemas siasatan dengan meneliti semua bukti berkaitan.
Beliau juga menegaskan bahawa tiada pihak akan terkecuali daripada siasatan, sekali gus mengulangi komitmen kerajaan untuk memastikan proses ini berjalan dengan telus, adil dan saksama.
Pemergian Zara Qairina merupakan satu kehilangan besar, bukan sahaja buat keluarga dan rakan-rakan, malah kepada seluruh masyarakat yang mengikuti perkembangan kes ini.
Nurin Qasdina turut menyeru semua pihak supaya menjaga sensitiviti keluarga Allahyarham serta memberi sokongan terhadap proses siasatan berjalan dengan lancar.
“Semoga roh adik Zara Qairina dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman,” katanya.-UTUSAN