Bekas Presiden Columbia dihukum tahanan rumah 12 tahun

Bekas Presiden Columbia dihukum tahanan rumah 12 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BOGOTA: Bekas Presiden Colombia, Alvaro Uribe, dijatuhi hukuman 12 tahun tahanan rumah selepas disabitkan bersalah atas kesalahan mempengaruhi saksi dan rasuah.

Dalam keputusan pada Jumaat, mahkamah turut mengenakan denda AS$578,000 (RM2.7 juta) terhadap tokoh politik berusia 73 tahun itu, serta larangan memegang sebarang jawatan awam selama lebih lapan tahun.

Beliau juga diarahkan melapor diri kepada pihak berkuasa di Rionegro, di Antioquia, sebelum menjalani tahanan rumah seperti diperintahkan Hakim Sandra Liliana Heredia.

Dalam prosiding mahkamah selama 10 jam pada 28 Julai lalu, Hakim Heredia menyatakan terdapat bukti kukuh Uribe secara aktif cuba mempengaruhi keterangan saksi.

Keputusan itu bagaimanapun mencetuskan reaksi politik di Amerika Syarikat (AS).

Uribe menjadi bekas presiden pertama dalam sejarah Columbia yang disabit bersalah dalam perbicaraan jenayah.

Keputusan tersebut merupakan kemuncak kepada perbicaraan selama enam bulan serta pertikaian undang-undang berlarutan hampir 13 tahun terhadap tokoh konservatif berpengaruh itu, yang pernah menerajui Columbia dari 2002 hingga 2010.

Sepanjang pentadbirannya, Uribe mengetuai kempen ketenteraan keras terhadap kumpulan pemberontak sayap kiri seperti Angkatan Revolusi Colombia (FARC), yang ketika itu merupakan kumpulan gerila terbesar negara.

Ketika itu, tentera Columbia dikatakan terlibat dalam skandal ‘positif palsu’ iaitu pembunuhan ke atas orang awam yang kemudiannya dihebahkan sebagai pejuang musuh bagi meningkatkan statistik kejayaan ketenteraan.

Skandal tersebut mengakibatkan sekurang-kurangnya 2,000 kematian, dengan siasatan terkini mendedahkan angka sebenar mungkin mencecah 6,402 orang.

Uribe juga pernah dikaitkan dengan hubungan sulit bersama kumpulan separa tentera sayap kanan, namun beliau menafikan semua tuduhan itu.- AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN