Anak cedera dilanggar van sekolah, keluarga mahu ambil tindakan

Anak cedera dilanggar van sekolah, keluarga mahu ambil tindakan

TANGKAP layar insiden membabitkan seorang kanak-kanak dilanggar van sekolah yang dinaikinya di Taman Mantau Indah 3, Seremban, Negeri Sembilan Isnin lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Keluarga kepada seorang murid tabika berusia enam tahun yang cedera selepas dilanggar van sekolah dinaikinya Isnin lalu akan mengambil tindakan lanjut terhadap pemandu van sekolah berkenaan.

Ibu kanak-kanak berkenaan, Siti Zarina Abd. Zarim, 39, berkata, walaupun pemandu van berkenaan ada datang meminta maaf, tindakan yang akan diambil selepas ini adalah sebagai pengajaran supaya lebih berhati-hati.

Katanya, susulan kejadian itu, anaknya mengalami kecederaan dan menerima jahitan di bahagian kepala dan beberapa bahagian lain di dahi serta dalam mulut.

“Pemandu van itu ada datang minta maaf, saya maafkan tetapi saya terpaksa ambil tindakan. Kalau tidak, anak orang lain pula jadi mangsa,” katanya ketika dihubungi semalam.

Isnin lalu seorang murid tabika cedera selepas dilanggar van sekolah dinaikinya di hadapan rumah di Taman Mantau Indah 3.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, kejadian berlaku semasa pemandu iaitu seorang wanita berusia 38 tahun sedang menghantar mangsa ke rumah pengasuh.

“Sebaik sahaja mangsa turun daripada kenderaan dan berjalan di hadapan van sekolah tersebut pemandu telah terlanggar mangsa sehingga menyebabkan mangsa terjatuh,” katanya.

Sementara itu, Siti Zarina memberitahu, anaknya itu dipindahkan ke Hospital Tunku Azizah, Kuala Lumpur pada petang 5 Ogos lalu bagi dirujuk kepada pakar pembedahan plastik susulan keadaan kepala anaknya itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN