Aminuddin harap mutu pengadilan Liga Super dipertingkatkan

Aminuddin harap mutu pengadilan Liga Super dipertingkatkan

AMINUDDIN HARUN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Pihak Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) digesa supaya meningkatkan mutu pengadilan dalam saingan Liga Super.

Pengerusi pasukan Negeri Sembilan FC (NSFC) yang juga Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, kualiti pengadilan menjadi pertikaian termasuk Ketika perlawanan antara pasukan itu dan Johor Darul Ta’zim (JDT) malam kelmarin.

“Selaku Pengerusi NSFC saya baca banyak komen penyokong yang menggesa mutu pengadilan ditambah baik dan dipertingkatkan. Perkara ini perlu diberi perhatian serius agar bola sepak negara benar-benar berada dalam era profesional,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Negeri di sini semalam.

Dalam perlawanan di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor itu, NSFC tewas dengan keputusan 5-3 kepada JDT.

Aminuddin bagaimanapun memuji semangat dan prestasi pemain NSFC yang dibimbing Mohd. Nidzam Jamil apabila berjaya memberi tentangan sengit kepada JDT.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Aminuddin meminta pihak Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) menyelesaikan sebarang pertikaian membabitkan isu pelepasan kepada dua pemain pasukan sepak takraw, Negeri Sembilan Antlers bagi mewakili negara.

Kata beliau, isu tersebut termasuklah mengenai pembayaran gaji apabila pemain dipinjamkan kepada skuad kebangsaan.

“Apabila dipinjamkan, gaji patut dibayar oleh pihak yang meminjam. Kita tidak mahu mereka tidak ada gaji (elaun)..ini berlaku apabila kita pinjamkan kepada Majlis Sukan Negara, dan apabila ditarik balik peminjaman itu, tanpa dibayar gaji.

“Tapi pernah berlaku bila pemain wakili negara, kemudian ditarik balik dari skuad, tiada siapa bayar gaji. Kita pula terpaksa mengeluarkan duit untuk pemain ini,” katanya.

Beliau mengulas mengenai kenyataan Presiden PSM, Datuk Mohd. Sumali Reduan bahawa PSM berdepan masalah untuk membawa masuk pemain Negeri Sembilan Antlers, Hafizul Hayazi dan Zuleffendi Sumari bagi mengikuti Latihan skuad kebangsaan berikutan kekangan daripada pihak majikan pemain berkenaan.

Kedua-dua pemain berkenaan kini menunjukkan prestasi cemerlang bersama tekong, Haziq Hairul Nizam, apabila membantu Negeri Sembilan Antlers menjuarai Grand Prix Negeri Sembilan dan Johor dalam saingan Liga Sepaktakraw (STL).

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN