Amar Rohidan puji semangat juang pemain - Utusan Malaysia

Amar Rohidan puji semangat juang pemain

AMAR ROHIDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Biarpun beraksi dengan 10 pemain, Perlis Guar Syed Alwi (GSA FC) berjaya mengekalkan permainan terbaik untuk mengikat Kedah FA 0-0 dalam aksi Liga A1 Semi Pro di Stadium Tuanku Syed Putra, di sini, malam tadi.

Pengurus Perlis GSA FC, Amar Rohidan berkata, dia berpuas hati dengan prestasi ditunjukkan setiap pemain khususnya selepas pertahanan mereka, Muhammad Nasri Ahmad Thauhid dilayangkan kad merah pada minit ke-35.

Katanya, walaupun berdepan tekanan, pemain Perlis GSA dilihat masih mampu bertahan dan gagal dibolosi oleh pihak lawan yang turut dibarisi tiga pemain import.

“Kekurangan seorang pemain bukannya sesuatu yang mudah khususnya bagi pasukan kita untuk mendapatkan jaringan gol. Saya bersyukur pemain dapat bertahan dengan baik sehingga tamat perlawanan. Pada separuh masa pertama, kita memang beraksi dengan baik namun layangan kad merah itu menyukarkan sikit untuk kita bergerak,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan tersebut.

Dalam pertemuan itu, Perlis GSA berjaya mengikat Kedah FA dengan keputusan seri 0-0 biar pun terpaksa beraksi dengan 10 pemain.

Mengulas lanjut, Amar berkata, untuk persediaan perlawanan seterusnya, dia akan memperbaiki beberapa kelemahan terutama di barisan serangan.

“Harapan saya ialah perlawanan berikutnya nanti kita dapat membawa pulang tiga mata penuh dan memperbaiki kelemahan-kelemahan yang ada,” katanya.

Sementara itu, kapten Perlis GSA, Anas Shaharom berkata, dia bersyukur Perlis berjaya membawa pulang satu mata biar pun terpaksa bekerja keras dalam perlawanan itu.

Dia juga berpuas hati dengan aksi setiap pemain memandangkan pihak lawan turut dibarisi pemain berpengalaman dan import.

“Biar pun kurang pemain namun kami berjaya mengimbangi perlawanan dan mengikat kedudukan 0-0,” katanya.

Dalam pada itu, Presiden Perlis GSA FC, Izizam Ibrahim pula berkata, pihak pengurusan sememangnya mempunyai perancangan untuk mengambil pemain import namun hasrat itu akan diusahakan mengikut faktor kewangan.

“Saya berharap dengan usaha ini akan dapat menaikkan semula semangat Singa Utara agar sebaris dengan pasukan-pasukan lain,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN