47 kes keganasan rumah tangga di Perlis dalam tempoh tujuh bulan - Utusan Malaysia

47 kes keganasan rumah tangga di Perlis dalam tempoh tujuh bulan

WAN BADARIAH WAN SAAD.-UTUSAN/ADIB AKHYAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Sebanyak 47 kes keganasan rumah tangga direkodkan di negeri ini dalam tempoh tujuh bulan dari Januari hingga Julai lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Wan Badariah Wan Saad berkata, berdasarkan statistik dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kangar merekodkan sebanyak 20 kes, makanala di Arau sembilan serta Padang Besar, 15 kes.

Katanya, kes keganasan rumah tangga yang dikendalikan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pula direkodkan sebanyak tiga kes.

Ujar beliau, 20 kes di Kangar itu adalah membabitkan siasatan dibawah seksyen 323 kanun keseksaan iaitu berkaitan kesalahan menyebabkan kecederaan dengan sengaja.

“Ia juga membabitkan seksyen 324 kanun keseksaan berkaitan kesalahan mendatangkan kecederaan dengan menggunakan senjata atau cara berbahaya, seksyen 326 kanun keseksaan berkaitan kesalahan menyebabkan cedera parah dengan sengaja menggunakan senjata ataupun benda berbahaya.

“Kes juga disiasat dibawah seksyen 427 kanun keseksaan berkaitan kesalahan khianat yang melibatkan perbuatan merosakkan atau memusnahkan harta benda orang lain sehingga menyebabkan kerugian dan juga seksyen 506 kanun keseksaan berkaitan kesalahan ugutan jenayah,” katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis semalam.

Tambah Wan Badariah, mangsa kes keganasan rumah tangga tersebut melibatkan mereka yang berumur antara 18 sehingga 74 tahun.

“Mangsa paling ramai direkodkan bagi kawasan Kangar adalah mereka yang berumur antara 18 hingga 34 tahun iaitu 10 orang. Mangsa berumur 35 hingga 54 tahun direkodkan seramai lima orang, 55 hingga 74 tahun (lima),” katanya.

Sementara itu, beliau memberitahu, statistik bagi kes penderaan dan pengabaian kanak-kanak direkodkan sebanyak 117 sepanjang tahun ini.

“Pengendalian kes kanak-kanak yang memerlukan pemeliharaan dan perlindungan secara umumnya akan dilihat daripada konsep ‘Best Interest Of The Child’ serta menjurus kepada pemeliharaan berasaskan keluarga atau penempatan kepada orang yang layak dan sesuai atau penempatan di institusi kanak-kanak.

“Bagi kes melibatkan keganasan rumah tangga, JKM melihat kepada intipati Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 iaitu sebagai satu tempoh ‘cooling of period’ dan bagi kes yang dibuka kertas siasatan oleh pihak PDRM boleh memohon untuk mendapatkan perlindungan melalui perintah perlindungan interim atau perintah perlindungan seperti yang diperuntukkan di dalam Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 (Akta 521).

“Pengendalian kes warga emas dan orang papa pula dilihat daripada sudut keperluan asas kehidupan warga emas itu sendiri dan disediakan perkhidmatan daripada aspek bantuan kewangan bulanan atau perkhidmatan di institusi JKM bagi kes yang memerlukan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN