KANGAR: Sejumlah 43,639 kenderaan dengan purata harian sebanyak 3,637 telah direkodkan melakukan transaksi bagi penggunaan sistem parkir pintar dan langganan pas musim di negeri ini untuk tempoh dari 16 Mei hingga 30 Jun lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Asrul Aimran Abd Jalil berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 37,033 kenderaan didapati menggunakan kemudahan parkir percuma 15 minit dengan membabitkan kira-kira 84.86 peratus daripada keseluruhan transaksi.
Asrul Aimran berkata, perkembangan tersebut sekali gus menunjukkan majoriti pengguna hanya berhenti untuk tempoh singkat bagi penggunaan parkir pintar tersebut.
“Untuk makluman, setakat ini juga terdapat sejumlah 535 petak parkir telah dikendalikan menerusi sistem ini,” katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis di sini hari ini.
Asrul Aimran menjawab soalan dibangkitkan oleh Gan Ay Ling (PH-Indera Kayangan) berhubung kesan sistem parkir berbayar terhadap aktiviti ekonomi dan langkah penambahbaikan yang sedang dipertimbangkan oleh kerajaan negeri.
Asrul berkata, jumlah pembayaran parkir pintar yang direkodkan buat masa ini adalah membabitkan sebanyak 6,006 transaksi bersamaan dengan 551 kenderaan bagi tempoh sama.
“Daripada segi penggunaan aplikasi mudah alih pula, sebanyak 29,929 akaun telah didaftarkan di dalam sistem pelayan namun hanya 17,237 pengguna aktif membuat transaksi sepanjang tempoh tersebut dengan purata harian sebanyak 1,149 pengguna aktif,” katanya.
Dalam pada itu, Asrul berkata, seramai 847 pengguna juga dikenalpasti telah membuat bayaran parkir itu melalui 12 ejen yang dilantik sebelum ini.
Ujar beliau, satu kawasan parkir akan dikendalikan oleh empat orang ejen dalam memudahkan urusan pengguna di lokasi tersebut.
“Jumlah langganan pas musim (season pass) yang direkodkan juga adalah seramai 539 pengguna iaitu membabitkan pengguna tetap secara langganan bulanan mahu pun tahunan,” katanya.
Tambahnya, langkah Majlis Perbandaran Kangar (MPK) beralih kepada satu sistem parkir pintar itu merupakan satu inovasi teknologi yang sejajar dengan hasrat kerajaan negeri dalam melaksanakan inisiatif Perlis Go Digital.
“Parkir pintar yang sedang diusahakan hari ini adalah gabungan teknologi pengenalan plat number kenderaan dan ‘bay lock’ secara automatik di mana pengguna dapat menikmati pengalaman parkir yang lebih selamat, pantas dan tanpa sentuhan bagi menyokong aspirasi kerajaan negeri,” katanya.-UTUSAN