PETALING JAYA: Usul undi tidak percaya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sama ada dikemukakan di Dewan Rakyat atau sebaliknya akan diketahui pada hari ini.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata, sebarang pengesahan berkenaan perkara itu akan dimaklumkan pada hari pertama mesyuarat kedua penggal keempat Parlimen ke-15.
“Nanti saya akan umumkan esok (hari ini),” katanya kepada Utusan Malaysia.
Kelmarin, Anwar berkata, beliau tidak pernah menghalang penganjuran Himpunan Turun Anwar diadakan oleh pemimpin pembangkang kerana menghormati prinsip demokrasi diamalkan di negara ini.
Katanya, pertukaran kerajaan hanya boleh berlaku sekiranya wujud usul hilang sokongan terhadap Perdana Menteri dibawa dan diluluskan di Dewan Rakyat.
Beliau menegaskan bahawa tindakan untuk meletakkan jawatan tidak semudah itu semata-mata kerana desakan melalui perhimpunan atau tunjuk perasaan.
Untuk rekod, usul undi percaya pernah dibentangkan di Dewan Rakyat pada 19 Disember 2022 selepas Anwar dilantik mengetuai kerajaan perpaduan pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Usul tersebut diluluskan dengan undian suara selepas dibentangkan oleh Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadillah Yusof dan disokong oleh Timbalan Perdana Menteri I, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Dalam perkembangan lain, sidang Dewan Rakyat yang dijadual berlangsung bermula hari ini hingga 28 Ogos ini dijangka memberi tumpuan utama kepada perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
RMK13 dijangka menjadi agenda utama kerana ia merangka hala tuju pembangunan negara untuk tempoh lima tahun akan datang, merangkumi dasar ekonomi, sosial, infrastruktur dan kesejahteraan rakyat. – UTUSAN










