KLANG: Trend kutipan sampah di sepanjang 21 kilometer (km) Sungai Klang didapati tidak menunjukkan penurunan, malah kadarnya dilaporkan sama lebih 3,000 tan metrik sisa sejak kerja-kerja pembersihan dilakukan sejak enam tahun lalu.
Pengarah bahagian pembersihan sungai Pertubuhan The Ocean Cleanup (TOC), Marco Piet berkata, kebanyakan sampah yang dikutip adalah plastik botol minuman, bekas makanan, plastik beg, bekas pencuci dan sebagainya.
“Sejak beroperasi, kami dapati jumlah sampah yang dibuang orang ke dalam sungai ini tidak menunjukkan trend penurunan. Jumlah sampah dilihat masih sama.
“Kami akan mendapat perangkap sampah (log boom) yang baharu tidak lama lagi. Perangkap sampah itu dijangka dapat menangkap lebih banyak sampah di kawasan sungai,” katanya majlis pelancaran Pusat Pengasingan Sisa Pepejal Sungai Klang, semalam.
Tambahnya, kerja-kerja pembersihan dilakukan di Sungai Klang selepas bekerjasama bagi membantu Landasan Lumayan Sdn. Bhd. (LLSB) mewujudkan pusat pengasingan sisa plastik sungai di sana sejak 2019.
Pengutipan dan pembinaan pusat itu adalah sebahagian daripda projek Gerbang Maritim Selangor (SMG), iaitu projek untuk membersihkan keseluruhan Sungai Klang bagi meningkatkan potensi dari segi ekonomi serta sosial di kawasan sekitar sungai tersebut.
Sementara itu, Pengarah Urusan LLSB, Syaiful Azmen Nordin memberitahu, pusat pengasingan sisa pepejal itu berfungsi mengasingkan sisa yang dikutip di sepanjang Sungai Klang di bawah projek SMG.
“Sisa pepejal itu akan diasingkan mengikut jenis boleh kitar semula dan tidak boleh kitar semula. Yang boleh dikitar semula, kita akan jual sisa ini kepada syarikat kitar semula sementara yang lain akan dihantar ke pusat pelupusan sampah,” ujarnya.
Menurutnya, pusat tersebut telah beroperasi sejak Disember tahun lalu dan sehingga hari ini, pusat berkenaan telah mengasingkan empat tan pelbagai jenis sisa plastik.
Justeru, Syaiful Azmen menggesa penduduk Lembah Klang tidak membuang sampah ke dalam Sungai Klang kerana mahu ia terus bersih supaya lebih banyak aktiviti ekonomi boleh dijalankan di sepanjang sungai berkenaan.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan sampah menjadi salah satu faktor menyebabkan Sungai Klang semakin cetek dan tidak mampu menampung limpahan air sekali gus mencetuskan banjir ketika hujan lebat yang turut disumbang oleh air pasang.
Malah, antara sampah ditemukan dalam sungai tersebut seperti katil, peti ais dan beberapa kelengkapan rumah lain selain bangkai motosikal yang pernah dikeluarkan sejak aktiviti pembersihannya dilakukan pada 2018. – UTUSAN