SHAH ALAM: Pelajar yang disyaki terlibat kes rogol perlu diberikan hukuman setimpal dan tegas mengikut proses undang-undang, bukan sekadar tindakan disiplin sekolah semata-mata.
Timbalan Ketua Pemuda Amanah Nasional, Danial Al-Rashid Haron berkata, pihaknya menyokong keputusan Lembaga Tatatertib Sekolah Kementerian Pendidikan yang mengenakan hukuman buang sekolah terhadap empat pelajar disyaki terlibat dalam kes rogol terhadap seorang junior tingkatan tiga di Melaka.
Jelas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Tiga itu, tindakan berkenaan sewajarnya menjadi teladan bahawa kesalahan berat seksual di sekolah tidak akan dipandang ringan.
“Pelajar yang terlibat dalam jenayah rogol melanggar maruah mangsa, norma moral masyarakat dan asas maqasid syariah.
“Justeru, saya mendesak Kementerian Pendidikan dan institusi berkaitan menetapkan hukuman setimpal melalui proses undang-undang sebagai pengajaran kepada pelajar di negara ini,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan empat suspek lelaki yang disyaki merogol seorang pelajar perempuan secara bergilir-gilir di sebuah sekolah itu dibuang sekolah.
Ketua Pengarah Pendidikan, Dr. Mohd. Azam Ahmad mengesahkan Lembaga Tatatertib Sekolah yang bersidang pagi tadi menjatuhkan hukuman sedemikian ke atas semua suspek terlibat.
Malah, kebenaran untuk suspek menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak sama sekali bermakna mereka akan terlepas hukuman dan tidak mengganggu proses undang-undang.
Semalam, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek memaklumkan semua pelajar itu dibenarkan menduduki peperiksaan yang dijadualkan bermula 3 November depan bagi memastikan aspek pendidikan mereka tidak terganggu meskipun berdepan tindakan undang-undang.
Danial berkata, garis panduan dan polisi jelas perlu dilakukan bagi memastikan individu yang dituduh dengan kesalahan seksual serius tidak terus diberi hak.
“Ia seperti duduk peperiksaan atau kembali ke sekolah sehingga kes diselesaikan contohnya tempat khas pengawasan atau tangguhan.
“Selain itu, sokongan pemulihan emosional dan psikologi diberikan kepada mangsa serta keluarga supaya trauma tidak merosakkan masa depan mereka,” ujarnya.
Tambah beliau, pendidikan mendalam mengenai kesedaran seksual, hormat diri dan hubungan sihat turut perlu sebagai sebahagian kurikulum sekolah.
“Jika kita gagal menanganinya secara tegas, kita mewujudkan pengajaran bahawa jenayah seksual boleh dimaafkan atas nama prosedur atau sistem,” ujarnya. – UTUSAN










