KUALA SELANGOR: Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) melaksanakan inisiatif sulungnya bersama mahasiswa di bawah Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35) di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Selangor.
Langkah pertama pelaksanaan program PuTERA35 @ Kampus UiTM itu berlangsung di kampus Puncak Alam selama dua hari yang berakhir semalam.
Program itu menjadi platform utama memperkenalkan dasar dan inisiatif ekonomi Bumiputera kepada mahasiswa selaras usaha kerajaan memperkukuh kefahaman generasi muda terhadap hala tuju berkenaan.
Antara objektif utamanya adalah menggalakkan penyertaan mahasiswa secara positif mengenai pembentukan idea baharu dan memperkasakan kefahaman program serta dasar masa depan negara.
Selain itu, ia memperluaskan kefahaman agenda PuTERA35 bagi mereka yang tertumpu kepada usahawan muda dan kepimpinan ekonomi Bumiputera.
Kejayaan transformasi ekonomi Bumiputera menuntut kesungguhan, kolaborasi dan penglibatan semua pihak termasuk generasi muda sebagai pemacu masa depan.
Sebagai penyelaras utama, TERAJU menghimpunkan pelbagai agensi bermandat Bumiputera, kementerian dan rakan pelaksana kerajaan bagi memperkenalkan inisiatif di bawah kerangka PuTERA35, sekali gus memperkukuh kolaborasi dalam memperkasa bakat Bumiputera agar berpendidikan tinggi, berdaya saing, inovatif dan mampu menjadi peneraju ekonomi negara.
Sepanjang penganjurannya, pelbagai sesi interaktif, bengkel kemahiran dan perkongsian industri dijalankan bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan serta menyemai semangat kepimpinan dalam kalangan mahasiswa.
Program itu turut menampilkan pertandingan GenBajet 2026 iaitu inisiatif yang memberi ruang kepada mahasiswa mengemukakan idea dasar baharu dan cadangan program pembangunan berpotensi dilaksanakan dalam rangka pelan berkenaan.
Inisiatif itu mencerminkan peranan penting golongan muda sebagai penyumbang idea dasar dan penerus agenda pembangunan Bumiputera yang lebih progresif dan inklusif.
Lebih 2,000 pelajar UiTM dan institusi pengajian di bawah Majlis Amanah Rakyat (Mara) hadir bagi mendapatkan pendedahan mengenai pelbagai dasar pembangunan diri, keusahawanan dan kerjaya dalam sektor strategik negara.
Kemuncak program itu disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.
Beliau menegaskan keperluan melahirkan generasi Bumiputera yang berani berinovasi, memiliki daya saing tinggi dan mampu mencipta peluang baharu dalam ekonomi global.
Turut hadir, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir; Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi, Datuk Nor Azmie Diron dan Naib Canselor UiTM,
Prof. Datuk Dr. Shahrin Sahib.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif TERAJU, Junday Nawawi dan ketua agensi bermandat Bumiputera dan pimpinan utama institusi yang turut menyokong pelaksanaan agenda itu.
PuTERA35 @ Kampus UiTM menandakan permulaan kepada siri pengenalan nasional bagi memperkukuh hubungan antara pelajar universiti dan ekosistem pembangunan Bumiputera.
Pendedahan awal itu penting bagi membina kesedaran dan rasa tanggungjawab terhadap agenda berkenaan.
Selain itu, ia menggalakkan penyertaan aktif golongan muda dalam menjayakan matlamat Penyertaan, Pemilikan dan Penguasaan (3P) menjelang 2035.
PuTERA35 adalah agenda nasional bagi memperkukuh kedudukan ekonomi Bumiputera secara menyeluruh.
Berteraskan prinsip 3P, pelan itu meliputi 12 pemacu strategik dan tujuh bidang fokus bagi melonjakkan daya saing Bumiputera dalam pelbagai sektor bernilai tinggi.
Sektor utama itu termasuk melibatkan keusahawanan, inovasi, pendidikan, dan teknologi. – UTUSAN










