Tragedi Putra Heights: Tiada elemen sabotaj, kecuaian

Tragedi Putra Heights: Tiada elemen sabotaj, kecuaian

Rumah Putra Heights
KEADAAN rumah dan kenderaan yang musnah di Taman Putra Harmoni, Putra Heights dalam kejadian letupan pip gas pada 1 April lalu. – UTUSAN/ISKANDAR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati, tiada sebarang elemen sabotaj atau ke­cuaian yang menyebabkan letupan paip gas di Putra Heights pada 1 April lalu.

Menteri Besar, Datuk Ami­rudin Shari berkata, siasatan oleh pasukan teknikal mendapati, sejak saluran paip gas itu ditauliahkan pada 2000, te­lah berlaku mendapan ta­nah sebanyak 24.3 sentime­ter (cm) dalam tempoh 25 tahun.

Beliau berkata, kesan men­­­dapan tanah tersebut me­nyebabkan berlakunya per­gerakan kepada paip gas sebanyak 15.9cm, dan ia dibuktikan dalam persam­pelan paip yang menunjukkan tanda-tanda tekanan dan fatigue dalam struktur paip.

Katanya, Jabatan Mineral dan Geosains mendapati bahawa kawasan tersebut tepu air dan mempunyai takungan air bawah tanah semulajadi yang menyebabkan tanah kawasan tersebut telah menjadi lembut.

“Meskipun paip gas tersebut memenuhi spesifikasi tek­nikal dan piawaian yang ditetapkan, kegagalan paip didapati berpunca daripada beberapa faktor persekitaran termasuk keadaan tanah yang kurang stabil.

“(Faktor lain), pengumpulan air bawah tanah dalam tempoh masa panjang yang menyebabkan tanah kawasan semakin lembut, struktur saliran monsoon dan culvert yang terkesan akibat keadaan tanah, serta tekanan iklim dan kepadatan kawasan penduduk.

“Pasukan penyiasat menyimpulkan bahawa faktor per­sekitaran di bawah permukaan tanah merupakan punca utama paip tersebut gagal, dan pergeseran logam paip gas kemudian mencetuskan api yang meledak pada jam 8:08 pagi, 1hb April,” katanya dalam kenyataan hasil laporan siasatan tragedi berkenaan, semalam.

Amirudin berkata, kerajaan negeri berpendirian bahawa laporan siasatan itu akan menjadi asas kepada analisis risiko di setiap kawasan yang seumpamanya.

Katanya, sebuah jawatan­kuasa khas di bawah Unit Pengurusan Bencana Negeri akan ditubuhkan dengan melibatkan pakar termasuk daripada Petronas.

“Ia bagi memberikan cadangan pembaharuan undang-undang, prosedur kelulusan kebenaran merancang, dasar pembangunan mengambil kira risiko perubahan iklim, serta semua kawasan jajaran right-of-way talian paip gas.

“Ini amat penting bagi mengukuhkan kawasan Putra Heights serta kawasan seum­pamanya supaya insiden ngeri sebegini tidak berulang lagi,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, dapatan itu diperoleh menerusi siasatan terperinci yang dijalankan bersama pelbagai agensi termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Petronas yang mendapati, kejadian itu berpunca daripada saluran paip gas bawah tanah.

“Kebakaran berlaku kira-kira pukul 8.06 pagi dan bomba mengambil masa selama tujuh jam untuk memadamkan sepenuhnya kebakaran itu.

“Siasatan polis melibatkan dua aspek utama iaitu unsur khianat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan manakala kecuaian di bawah Seksyen 285 dan 286 kanun sama,” katanya ketika membentangkan laporan siasatan itu di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini.

Letupan pada 1 April lalu mengakibatkan 81 rumah musnah sepenuhnya dengan kerosakan struktur melebihi 40 pe­ratus, 81 separa musnah dan 57 terkesan tetapi tidak terbakar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN