Tiga perkara baharu dilaksana hari ini

Tiga perkara baharu dilaksana hari ini

Kenaikan sesetengah barang akibat SST turut dirasai oleh mahasiswa universiti. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tiga perkara baharu akan dilaksanakan bermula hari ini dalam usaha ke­rajaan memperkukuh pertumbuhan ekonomi negara dan meningkatkan pendapatan kerajaan.

Perkara itu adalah pelaksa­naan peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), tarif elek­trik dan penguatkuasaan pe­ma­­kaian tali pinggang keledar ke­pada penumpang bas ekspres dan persiaran.

Perluasan SST yang dibuat secara bersasar, dijangka membolehkan kerajaan meningkatkan hasil sehingga RM10 bilion setahun yang akhirnya dibelanjakan kembali untuk pemba­ngunan negara.

Pelaksanaan tarif elektrik elek­trik pula membantu kerajaan mengurangkan defisit per­be­lanjaan melalui pemberian sub­sidi, tanpa mengabaikan kebajikan majoriti rakyat.

Untuk tempoh Januari hingga Jun 2025, jumlah subsidi elektrik yang dibiayai oleh kerajaan sebanyak RM2,388 juta dan pelaksanaan subsidi elektrik se­cara bersasar mengurangkan komitmen tersebut. Lebihan itu disalurkan dalam pelbagai bentuk bantuan lain kepada rakyat.

Bagi penguatkuasaan pe­makaian tali pinggang keledar penumpang bas pula, ia merupakan usaha kerajaan melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menjamin keselamatan orang ramai yang menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam berkenaan.

Mengenai SST, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan sebelum ini berkata, semakan dan perluasan skop cukai itu menunjukkan komitmen kerajaan terhadap cukai yang progresif dan saksama untuk mengukuhkan kedudukan fiskal sambil melindungi golongan yang pa­ling memerlukan.

Di bawah dasar baharu itu, barangan keperluan seperti makanan asas, ubat-ubatan dan bahan binaan asas kekal dikecualikan cukai. Manakala perkhidmatan baharu se­perti pajakan, pembinaan, kewa­ngan, penjagaan kesihatan swasta, pendidikan dan kecantikan akan dikenakan cukai.

Hasil tambahan daripada SST akan disalurkan kepada program bantuan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) serta penambahbaikan infrastruktur de­ngan penekanan agar golongan berkemampuan menyumbang lebih demi mengurangkan jurang kaya-miskin, kata Amir Hamzah.

Sementara itu, Tenaga Nasional Berhad (TNB) memaklumkan, Penstrukturan Tarif Elektrik mula berkuat kuasa pada 1 Julai 2025.

“Langkah ini dirangka untuk mengubah pemikiran rakyat ke arah penggunaan tenaga yang mengutamakan kelestarian dan kecekapan tenaga, sejajar dengan pelaksanaan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).

“Ini dicapai dengan memastikan bil elektrik anda lebih telus serta membantu anda memahami dengan lebih baik bagaimana wang anda dibelanjakan untuk memastikan bekalan elektrik berterusan untuk semua. Sebagai pengguna, anda kini mempunyai lebih kawalan ke atas penggunaan tenaga dan perbelanjaan anda,” kata syarikat tenaga nasional itu di laman sesawangnya.

Bagi pemakaian tali pinggang keledar penumpang bas pula, syarikat pengangkutan dan orang ramai yang ditemui Utusan Malaysia menyokong usaha tersebut bagi menjamin keselamatan mereka. Jika gagal berbuat demikian, mereka boleh dikenakan saman RM300.

Pengerusi Persatuan Peng­usaha Bas Seluruh Malaysia, Datuk Mohamad Ashfar Ali berkata, semua pemandu bas ekspres dan persiaran akan membuat pengumuman mengingatkan penumpang supaya mematuhi peraturan itu.

“Kami menyokong tindakan kerajaan mewajibkan pemakaian tali pinggang keledar kepada penumpang bas bagi mengelak sebarang kemalangan tidak diingini berlaku. Kami akan membuat pengumuman dan menampal notis peringatan pada bahagian atas bas yang mudah dilihat oleh penumpang (supaya memakai tali pinggang keledar),” katanya.

Kelmarin, Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, pemakaian tali pinggang keledar kepada penum­pang as antara tiga langkah tegas diambil bagi meningkatkan ke­selamatan perkhidmatan pe­ngangkutan awam di negara ini.

Dua langkah lagi ialah menyenarai hitam syarikat-syarikat yang gagal melunaskan tunggakan saman dalam tempoh 14 hari dan membatalkan lesen syarikat pengendali kenderaan perdagangan yang gagal audit melalui Op Khas ‘JPJ Inspection and Safety Audit (JISA).’ – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN