Tauliah penceramah bebas disiasat ditarik, pernah ditahan JAIS

Tauliah penceramah bebas disiasat ditarik, pernah ditahan JAIS

Tauliah
SALEHUDDIN SAIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Seorang penceramah bebas yang disiasat berhubung kes penyebaran video seks isteri-isterinya ditarik semula tauliah mengajar agama dan pernah ditahan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Salehuddin Saidin berkata, pihaknya merujuk kepada berita yang tular baru-baru ini berkaitan penahanan seorang ‘ustaz’ oleh polis kerana disyaki melakukan perbuatan jenayah.

“MAIS sudah menarik balik tauliah mengajar agama individu itu pada 2022. Suspek juga pernah ditahan oleh JAIS pada September 2024 kerana mengajar agama Islam tanpa tauliah yang menyalahi Seksyen 119 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003.

“Kes tersebut masih di peringkat perbicaraan di Mahkamah Rendah Syariah dan seorang individu yang juga salah seorang pentadbir surau turut disiasat kerana disyakimenyebabkan ceramah tanpa tauliah itu berlaku,” katanya, hari ini.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan polis menyiasat penceramah berusia 39 tahun itu selepas menerima laporan polis daripada isteri kedua suspek pada 16 Jun lalu.

Pengadu mendakwa lelaki itu menyebarkan video seks dirinya dan madu-madu lain serta beberapa wanita lain. Hasil semakan polis di telefon bimbit suspek menemukan beberapa video seks suspek dengan isteri-isterinya dan gambar wanita lain dalam keadaan mengaibkan.

Suspek direman selama empat hari dan diberikan jaminan polis sementara proses melengkapkan siasatan kes itu mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.

Menurut Salehuddin, pihaknya kesal dengan sikap beberapa individu yang masih mengajar agama Islam di Selangor walaupun tiada tauliah atau tarikh tauliahnya luput.

“Malah, masih ada penceramah bertauliah ymelanggar syarat tauliah dan etika yang ditetapkan.

“Semua kejadian itu kerana terdapat segelintir pentadbir masjid dan surau yang tidak memantau penceramah yang mengajar di masjid dan surau mereka mematuhi segala peraturan ditetapkan,” ujarnya.

Tegas beliau, MAIS sejak 2022 telah menarik balik tauliah mengajar agama 35 individu kerana beberapa kesalahan

“Ia antaranya melibatkan pelanggaran syarat tauliah mengajar, melakukan pengajaran bercanggah dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah, melakukan jenayah dan memegang jawatan dalam politik.

“Beberapa individu juga kini digantung tauliahnya sementara siasatan dibuat mengikut undang-undang,” katanya.

Justeru, Salehuddin menyeru semua pihak digesa memahami dan mematuhi semua undang-undang dan peraturan yang ditetapkan.

Tambah beliau, pihak masjid dan surau diingatkan sentiasa memastikan penceramah agama yang diundang mempunyai tauliah mengajar agama Islam yang dikeluarkan MAIS atau mendapat pengecualian sewajarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN