SHAH ALAM: Pemilik akaun khususnya pengguna yang menggunakan air melebihi 20 meter padu sebulan di negeri ini akan terkesan dengan perubahan tarif baharu apabila ia diluluskan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) seawal bulan ini.
Kenaikan tersebut dijangka kerana ia merupakan sebahagian daripada permohonan kenaikan yang dibuat oleh kerajaan negeri secara berperingkat dan diluluskan sejak awal tahun lalu.
Exco Pertanian dan Infrastruktur, Datuk Izham Hashim berkata, kenaikan tersebut masih tertakluk kepada kelulusan daripada SPAN, namun permohonan bagi penguatkuasaannya adalah seawal Julai.
“Kita sudah lama memohon, tetapi jumlahnya (kenaikan) terlalu besar dan dibuat secara berperingkat-peringkat. Peringkat pertama melibatkan pemilik akaun industri, komersial dan sebahagian domestik dilaksanakan pada awal tahun lalu.
“Bagaimanapun ia tidak akan memberi kesan kepada pengguna yang mendapat kemudahan air 20 meter padu percuma dan mereka yang menggunakan air kurang daripada 20 meter padu,” katanya ketika ditemui pemberita, hari ini.
Jelas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pandan Indah itu, kenaikan tersebut diperlukan bagi mengimbangi kenaikan kos pengurusan air yang ditanggung oleh syarikat Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. untuk membolehkan penyelenggaraan termasuk penggantian paip lebih 300 kilometer.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan caj minimum tarif air baharu bagi pengguna domestik di Selangor ditetapkan kenaikan sebanyak 50 sen berkuatkuasa pada 1 Februari tahun lalu.
Semua tarif caj minimum lain bergantung kepada kategori kediaman dan kapasiti penggunaan meter padu (m3) air masing-masing.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, ketetapan itu dilakukan menerusi Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan ia pelarasan tarif air pertama sejak 19 tahun lalu iaitu pada 2006.
Izham menambah, bagaimanapun kerajaan negeri menunggu kelulusan daripada SPAN untuk menentukan nilai kenaikan fasa kedua itu dan jumlah pemilik akaun yang akan terkesan. – UTUSAN