Ini penggal terakhir saya- Aiman Athirah

Ini penggal terakhir saya – Aiman Athirah

Penggal terakhir
AIMAN Athirah Sabu menyampaikan ucapannya dalam Pidato Ketua Wanita pada Konvensyen Nasional Angkatan Wanita Amanah Negara 2025, di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Ketua Angkatan Wanita Amanah Negara (Awan), Datuk Aiman Athirah Sabu mengumumkan penggal terakhirnya memegang jawatan itu dan bersedia memberi laluan kepada kepemimpinan baharu bagi menerajuinya.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, keputusan itu dibuat atas kesedaran terhadap perjuangan wanita serta tanggungjawab melahirkan lebih ramai pemimpin pelapis yang berani dan berwibawa.

“Ini adalah penggal terakhir saya sebagai Ketua Wanita. Saya tidak sabar mahu memberi laluan kepada wanita-wanita hebat dalam Amanah.

“Jika kita mahu parti terus maju, kepimpinan wanita mesti diangkat dan digilap,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada Konvensyen Angkatan Wanita Amanah Negara (Awan) Kebangsaan 2025, hari ini.

Aiman Athirah berkata, perjuangannya dalam memperkasa wanita tidak akan berakhir dengan tamatnya penggal ini, sebaliknya beliau akan terus berkhidmat dalam parti di peringkat lebih tinggi.

“Saya akan terus menyertai barisan kepimpinan parti bersama Dr. Siti Maria Mahmud dan menawarkan diri untuk berkhidmat di peringkat lebih luas,” ujarnya.

Selain itu, beliau turut menyeru agar perjuangan wanita diteruskan dengan hikmah, kebijaksanaan dan tindakan nyata, bukan sekadar keluhan atau simbolik semata-mata.

“Wanita bukan pilihan kedua, tetapi keperluan pertama negara. Kita tidak akan menunggu ruang diberikan, sebaliknya akan bersama-sama membina ruang itu.

Bangkitlah wanita negara, bukan dengan kemarahan, tetapi dengan kebijaksanaan,” tambahnya.

Aiman Athirah turut menegaskan komitmen Awan untuk melahirkan pemimpin akar umbi yang berani, calon pilihan raya yang bersedia, serta wanita profesional yang memimpin dengan integriti dan kasih sayang terhadap keluarga serta masyarakat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN